Mana pelan khusus pendidikan hadapi Covid-19, tanya Maszlee Malik


Zaim Ibrahim Chan Kok Leong

Dr Maszlee Malik mengingatkan Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin supaya berhenti daripada menambah keresahan ibu bapa yang bimbang akan pendidikan anak-anak mereka. – Gambar Parlimen Malaysia, 16 November, 2020.

DR Maszlee Malik meminta Kementerian Pendidikan (KPM) mengemukakan pelan menyeluruh untuk pendidikan Malaysia di tengah wabak Covid-19, ketika masih belum ada tanda penularan penyakit itu akan reda apabila sekolah dijadual dibuka semula pada Mac tahun depan.

Beliau mengingatkan Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin supaya berhenti daripada menambah keresahan ibu bapa yang bimbang akan pendidikan anak-anak mereka.

“Apakah ‘master plan’ Menteri Pendidikan untuk mengatasi isu Covid-19 ini?

“Adakah pelan beliau cukup sekadar bersikap reaktif seperti menutup semua sekolah di saat akhir sahaja?” katanya ketika membahaskani Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Maszlee berpendapat, keputusan untuk menutup sekolah sepatutnya boleh dibuat oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sahaja kerana mereka lebih arif tentang sesebuah kawasan.

“Dalam masa yang sama, mengapakah isu buka dan tutup sekolah tidak diperkasakan kepada PPD, pihak sekolah dan PIBG?

“Mereka lebih maklum keadaan setempat mereka berbanding Putrajaya,” katanya.

Pada 8 November lalu, Mohd Radzi mengumumkan sesi persekolahan bagi tahun ini ditutup dan akan dibuka semula pada tahun depan bermula pada 20 Januari, secara berperingkat dengan keutamaan untuk kelas yang mengambil peperiksaan awam.

“Keputusan menutup sekolah secara ‘blanket’ tanpa adanya alternatif untuk pendidikan anak-anak terutama kepada yang tiada capaian internet akan memusnahkan masa depan pendidikan anak-anak kita,” tegas Maszlee.

Selain mempersoalkan keputusan itu akan menyebabkan murid hilang minat belajar, Maszlee juga mahu kementerian menjelaskan mengapa pendidikan melalui televisyen masih hanya dapat ditonton untuk dua jam sahaja sehari.

Ini berbanding negara lain yang mempunyai lebih banyak saluran atau jam siaran, misalnya di Indonesia, Thailand, dan Turki.

Beliau mempersoalkan apa jadi kepada kontrak secara terus yang diberikan sebuah syarikat untuk membangunkan kandungan bagi TV Pendidikan.

“Rakyat tahu bahawa KPM ada memberikan projek kepada syarikat Radius One Sdn Bhd melalui tender terus yang berharga hampir RM2 juta semenjak beberapa  bulan lalu untuk menghasilkan 800 kandungan yang sepatutnya diselesaikan pada Oktober yang lalu.

“Di manakah 800 kandungan tersebut? Para pendidik dan anak-anak sekolah sedang menantikannya,” soalnya lagi.

Dalam pada itu Maszlee mempersoalkan sikap Mohd Radzi yang didakwa membelakangkan pemegang taruh pendidikan Malaysia seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB). 

Dakwa beliau, Menteri Pendidikan itu tidak pernah mengadakan perbincangan dengan persatuan-persatuan pendidikan walaupun telah lapan bulan memegang kerusi menteri. 

Maszlee sebelum ini mengemukakan tujuh soalan untuk dijawab oleh Menteri Pendidikan selepas KPM membuat keputusan menutup sekolah hingga Januari 2021 dan menunda  peperiksaan penting seperti SPM, STPM, SVM & STAM.

Antara soalan beliau adalah, bagaimana keluarga miskin dan golongan B40 perlu mencari wang untuk membawa pulang anak-anak mereka ke rumah.

Beliau turut  mempersoalkan nasib lebih dari 600,000 murid penerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang terhenti apabila sekolah ditutup. – 16 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen