Hentikan acara hiburan ketika negara dilanda Covid-19, kata ahli Parlimen PAS


Zaim Ibrahim Chan Kok Leong

Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman ketika menyampaikan perbahasan di Dewan Rakyat hari ini menggesa agar program hiburan dihentikan ketika negaea sedang berdepan pandemik Covid-19.– Gambar Facebook, 16 November, 2020.

PROGRAM berbentuk hiburan perlu dihentikan ketika negara sedang dilanda wabak Covid-19, kata ahli Parlimen PAS.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata aktiviti hiburan sama ada secara individu atau berkerajaan perlu dihentikan kerana ia akan menimbulkan kemurkaan Allah.

“Ini (wabak Covid-19) semua kuasa Allah, maka azimat yang paling mujarab selain mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ialah kembali kepada Allah.

“Saya sarankan hentikan acara hiburan yang menyalahi syariat apatah lagi dalam bulan Rabiulawal di kala umat islam sambut kelahiran Nabi Muhammad SAW, ia tidak sesuai dan keterlaluan,” kata beliau ketika menyampaikan perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Abdul Latiff bagaimanapun tidak menyebut mana-mana program hiburan namun beranggapan, pihak penganjur tidak menghormati sensitiviti rakyat.

“Program hiburan tentunya tak relevan ketika rakyat sedang menderita, hilang punca pendapatan dan pekerjaan. Penganjur langsung tidak menghormati sensitiviti dan keperitan bencana yang dilanda rakyat dan negara,” tambahnya.

Sebelum ini terdapat beberapa pihak membantah program Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang berlangsung Jumaat lalu.

Bagaimanapun Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob sebelum ini menjelaskan bahawa majlis itu tidak tergolong dalam senarai aktiviti terlarang semasa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Justeru itu, katanya tiada keperluan untuk penganjur merayu supaya anugerah itu dibenarkan dan hanya perlu mengikut SOP yang ditetapkan. – 16 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen