Noh Omar pula desak Putrajaya pinda Belanjawan 2021


Zaim Ibrahim

Noh Omar menjadi ahli Parlimen daripada Umno terbaru yang mendesak Putrajaya meminda Belanjawan 2021. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2020.

NOH Omar menjadi ahli Parlimen terbaru daripada Umno mendesak Putrajaya meminda Belanjawan 2021 berkaitan isu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium pinjaman.

Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata Perikatan Nasional perlu memberikan pilihan kepada rakyat untuk mengeluarkan caruman Akaun 1 KWSP dan pelanjutan moratorium sehingga 12 bulan.

“Rakyat perlu diberikan pilihan untuk keluar caruman Akaun 1 KWSP. Kita tahu caruman ini hasil titik peluh mereka, untuk simpanan hari tua selepas bersara.

“Namun dengan keadaan genting ini, ia dilihat dapat kurangkan beban sedia ada, pinjaman, bil-bil utiliti yang tertunggak mahupun kegunaan perbelanjaan harian,” katanya pada perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, Noh mencadangkan pelanjutan moratorium diperluaskan, bukan sahaja meliputi institusi perbankan, tetapi juga syarikat kredit dan syarikat pinjaman wang berlesen untuk membantu pengusaha bas dan pemandu teksi.

“Kita harap moratarium disambung lagi enam bulan, kita tahu bank beri moratarium selama enam bulan tetapi bagaimana keadaan syarikat kredit?

“Dia tidak menyeluruh, bank bagi, syarikat kredit tak bagi.

“Ini yang kita lihat pengusaha-pengusaha bas dan teksi, mereka tiada perniagaan tetapi mereka terpaksa bayar pinjaman bulanan,” tambah beliau.

Beliau menggesa kerajaan mengadakan perbincangan kerjasama dengan syarikat kredit dan pinjaman wang berlesen supaya mereka dapat melaksanakan moratarium.

“Kerajaan mungkin kata, tiada kuasa untuk campur tangan tapi kita kena ingat, kuasa bagi lesen ialah kerajaan. apa salahnya jumpa syarikat-syarikat kredit beritahu mereka minta kerjasama, termasuk syarikat pinjaman wang berlesen, menteri perumahan dan kerajaan tempatan boleh panggil mereka.

“Kalau mereka tidak mahu beri kerjasama, mungkin satu kuasa perlu digunakan (oleh kerajaan),” jelasnya.

Noh berkata, isu yang dibahaskannya adalah ibarat pelampung untuk membantu rakyat.

“Rakyat nak tenggelam, Kita bagilah pelampung, anggaplah ini pelampung untuk keselamatan rakyat, bila dah pulih nanti kita ambil baiklah pelampung,” katanya.

Jelasnya, sokongan bersyarat yang dibangkitkan bekas perdana menteri Najib Razak sebelum ini bukanlah “Hikayat Puteri Gunung Ledang” seperti tanggapan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Najib pada Rabu lalu berkata, sokongan BN terhadap Belanjawan 2021 adalah bersyarat - kerajaan perlu melanjutkan moratorium pinjaman dan membenarkan pengeluaran caruman akaun 1 KWSP. – 16 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen