CIKGU Azizan sudah dilepaskan oleh mahkamah atas tuduhan mencederakan anak muridnya, namun keluarga pelajar tersebut nampaknya tidak mahu melepaskannya dengan mudah.
Ini kerana, keluarga kepada murid berusia 11 tahun yang ditamparnya itu dilaporkan mahu mengemukakan saman berhubung kecederaan yang dialami kanak-kanak tersebut.
Laporan Utusan Online menyebut, ibu kepada murid berkenaan, yang hanya ingin dikenali dengan nama Mas berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang itu ke atas guru terbabit.
Dalam laporan itu, Mas dan suaminya turut mendakwa pihak sekolah mereka tidak pernah dimaklumkan mengenai masalah disiplin dihadapi anak mereka.
“Kami hanya tahu anak kami dikatakan ada masalah disiplin selepas kejadian dia ditampar oleh cikgu berkenaan. Itu pun selepas kami bertanya mengapa tampar anak kami sampai begitu sekali.
“Pipi anak saya merah (cedera) manakala telinganya berdesing akibat ditampar,” kata Mas seperti dipetik dalam laporan itu.
Tambahnya, mereka turut membuat laporan polis atas nasihat pegawai perubatan yang merawat anaknya.
Katanya lagi, mereka akan mendedahkan gambar dan laporan perubatan itu dalam satu sidang media esok.
Kenyataan itu timbul susulan keputusan Mahkamah Majistret Seremban hari ini yang membebaskan Cikgu Azizan, atau nama sebenarnya Azizan Manap, daripada dibicarakan atas tuduhan mencederakan anak muridnya.
Majistret Mohd Zaki Abd Rahman membuat keputusan itu selepas pendakwa raya menarik balik pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Tuduhan itu berhubung kesalahan mencederakan anak muridnya yang didakwa terlibat dalam kes disiplin berat termasuk menghidu gam.
Azizan, 44, yang baru bertugas di sekolah itu merupakan penolong hal ehwal murid yang bertanggungjawab ke atas isu disiplin. – 19 Disember, 2017
Komen