Pembeli China bayar 1.6 juta euro untuk burung merpati


New Kim terjual dengan harga 1.6 juta euro, burung itu dilatih oleh pasangan anak beranak Gaston dan Kurt Van De Wouwer di tapak bertaraf dunia di Berlaar, berhampiran Antwerp. – Gambar Pipa, 16 November, 2020.

SEORANG pembeli China tidak dikenali pada Ahad membayar 1.6 juta euro untuk seekor burung merpati betina pengutus surat bernama New Kim, kata pembida dalam talian Pigeon Paradse (Pipa).

Rekod jualan itu memecahkan rekod sebelum ini berjumlah 1.25 juta euro untuk seekor burung merpati jantan, Armando, tahun lepas, kata Pipa.

New Kim, berusia dua tahun dari Antwerp, mula dibida dengan harga 200 euro.

“Saya percaya ia rekod dunia, tidak pernah ada jualan rasmi direkodkan dengan harga itu,” kata pengerusi Pipa Nikolaa Gyselbrecht kepada AFP.

“Saya tak pernah terfikir kita akan dapat jumlah itu.”

Pembeli, yang tidak dinamakan, “mungkin akan membiakkannya”, tambahnya.

New Kim menang kejuaraan “Burung Merpati Jarak Sederhana Nasional” pada 2018 diadakan di Châteauroux dan Argenton-sur-Creuse, Perancis.

Burung Eropah mula menjadi tarikan dunia sejak beberapa tahun lepas terutama dari China di mana perlumbaan burung boleh menawarkan hadiah kemenangan lumayan.

Pembeli kaya dari Asia dan Timur Tengah sanggup membayar harga tinggi untuk burung yang menjadi juara kerana kemampuannya untuk terbang beratus-ratus kilometer tetapi masih mampu mencari jalan pulang ke rumah pemiliknya.

Seni melatih burung terbang jarak jauh itu berasal dari Belgium dan Denmark sehingga ke utara Perancis.

Sukan itu dianggap tidak lagi jadi tumpuan sehinggalah proses bidaan yang dibuat menunjukkan burung yang dianggap berpotensi jadi juara atau sudah menjadi juara terjual dengan harga lumayan.

Gyselbrecht berkata Belgium menganggarkan terdapat 20,000 pembiak burung perlumbaan akan mengambil bahagian dalam pertandingan utama yang diadakan.

New Kim dilatih pasangan anak beranak, Gaston dan Kurt Van De Wouwer di tapak latihan bertaraf dunia di Berlaar, berhampiran Antwerp. Mereka menjual keseluruhan “koleksi” burung merpati pada Ahad. – AFP, 16 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen