Aktif politik sampai sekarang sebab cinta pada negara, kata Dr Mahathir


Noor Azam Shairi Kamles Kumar

Cinta pada negara adalah kekuatan yang mendorongnya melakukan apa yang dilakukannya sampai ke hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 November, 2020.

TIDAK menyumbang apa-apa ketika tahu sesuatu mengenainya adalah sikap yang tidak betul, kata Dr Mahathir Mohamad, ketika ditanya kenapa beliau terus bersuara dan aktif dalam politik Malaysia biarpun kini berumur 95 tahun.

“Salah, kalau tahu jalannya dan tidak menyumbang,” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight, baru-baru ini.

Dr Mahathir menyambut ulang tahunnya yang ke-95 pada Julai lalu.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, cinta pada negara adalah kekuatan yang mendorongnya melakukan apa yang dilakukannya sampai ke hari ini.

“Ini negara saya. Saya bangga dengannya dan saya fikir kita boleh buat sama baik macam negara lain. Itu yang mendorong saya, dan saya nampak jalannya,” katanya.

Dr Mahathir menjelaskan beliau sudah menunjukkan jalan untuk Malaysia bangkit daripada sebuah negara pertanian yang berpendapatan rendah dan menjadi negara industri.

“Dulu semasa saya jadi perdana menteri pada 1981, kita tak nampak pun menara tinggi tetapi sekarang sudah ada kerana itu boleh berlaku.

“Ada orang yang mampu melakukannya tetapi kalau kita tidak tunjuk jalan untuk mereka lakukan, negara ini tidak akan membangun,” katanya.

Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri pada Februari selepas tidak setuju dengan langkah bekas partinya Bersatu keluar dari Pakatan Harapan. Dua perkembangan itu menyebabkan kerajaan yang mentadbir baru 22 bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 runtuh.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kemudian membentuk kerajaan Perikatan Nasional bersama Umno dan Barisan Nasional dan PAS, serta mendapat sokongan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa ahli Parlimen dari Sabah dan bebas.

Dr Mahathir kemudian tersingkir dari Bersatu bersama lima ahli Parlimen lain, dan seterusnya mengasaskan parti baharu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), yang kini menunggu kelulusan pendaftaran.

Sejak hujung Februari juga Dr Mahathir keras mengkritik kerajaan PN kerana sanggup bekerjasama dengan kleptokrat dalam Umno, terutamanya bekas perdana menteri Najib Razak, yang sekarang digelarnya “banduan”, serta presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang berhadapan puluhan tuduhan jenayah di mahkamah.

Dr Mahathir memberitahu The Malaysian Insight beliau terkejut ada ahli politik yang tergamak mengayakan diri sendiri daripada duit rakyat, sedangkan mereka dibayar cukup apabila memegang jawatan dan mendapat pelbagai kemudahan lain.

“Saya tidak faham kenapa orang tidak cintakan negara dan mahu buat duit daripada negara. Ini sesuatu yang asing pada saya.

“Bagai saya duit yang saya dapat tidak penting. Saya fikir saya dibayar terlebih sebagai perdana menteri. Saya tidak perlu gunakan duit yang saya dapat pun. Semuanya disediakan oleh kerajaan.

“Kenapa hendak duit banyak. Saya tak boleh belanja duit gaji pun. Kerajaan beri rumah, air, api, kereta, malah kapal terbang. Apa lagi saya mahu?” katanya, merujuk pada kemudahan kepada perdana menteri.

Dr Mahathir mengakui beliau kecewa Wawasan 2020 yang digagasnya tidak terlaksana, antaranya kerana dasar kerajaan diubah oleh dua perdana menteri selepasnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 November, 2020.

Wawasan 2020

Dr Mahathir mengakui beliau kecewa Wawasan 2020 yang digagasnya tidak terlaksana, antaranya kerana dasar kerajaan diubah oleh dua perdana menteri selepasnya setelah beliau bersara kali pertama pada 2003.

“Saya fikir kalau diteruskan dengan dasar yang telah beri kejayaan kepada kita, kejayaan-kejayaan akan berterusan dan pada 2020 kita akan capai matlamat kita. 

“Yang saya tidak sangka ialah apabila ada pengganti mereka tidak meneruskan ikut sama sekali dasar-dasar lama. Mereka perkenalkan pendekatan baru. 

“Mereka juga mengggunakan kuasa secara yang salah, terutama ada tuduhan rasuah dan sebagainya,” katanya.

Dasar Wawasan 2020 dibentang dalam Rancangan Malaysia Keenam pada 1991, bertujuan menjadikan Malaysia negara maju, bukan saja dari segi ekonomi, tetapi rakyatnya bersatu padu sebagai Bangsa Malaysia, maju juga dari segi sains dan teknologi serta rakyatnya mempunyai nilai, etika dan moral yang tinggi.

Dr Mahathir bagaimanapun berkata amalan rasuah dan penyelewengan berleluasa semasa Najib jadi perdana menteri, yang kesannya kata beliau meninggalkan kesan “selama-lamanya” kepada negara.

“Sudah tentu pada zaman Najib tuduhan ini amat teruk sekali. Berbilion ringgit hilang. Ini tidak boleh difikir oleh sesiapa pun, bukan saja saya,” katanya.

“Duit itu pula dihutang dan membebankan hutang negara. Kalau diteruskan negara kita akan jadi bankrap. 

“Tak ada siapa pun boleh kata mereka sudah nampak ini akan berlaku. Tetapi ini sudah berlaku dan tetap ada kesan untuk selama-lamanya,” tambahnya.

Politik hancurkan negara

Ketika persaingan parti-parti politik terus jadi tajuk berita, Dr Mahathir memberi amaran akan ancaman salah faham tentang demokrasi.

Katanya, politik sedang merosakkan Malaysia, antaranya kerana ahli politik dan rakyat tidak memahami kelemahan dan kekuatan sistem demokrasi.

“Demokrasi bagus kalau kita faham bagaimana kaedahnya. Kalau kita tidak faham, ia akan merosakkan negara,” katanya.

Beliau memberikan contoh bagaimana sistem dua parti berjalan di kebanyakan negara demokratik.

“Salah satu boleh menang dan orang tidak terikat pada mana-mana parti.

“Tetapi di Malaysia, orang mengikat diri mereka pada parti sehinggakan apabila parti buat salah mereka terus juga sokong kerana (kata mereka) itu parti saya,” katanya.

Atas sebab itu, Dr Mahathir berkata perlu ada pendidikan tentang demokrasi bagi memastikan sistem itu menghasilkan apa yang sepatutnya ia hasilkan. – 16 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen