Polis cedera khemah sekatan jalan raya runtuh


Ketika kejadian anggota polis berkenaan sedang berteduh di dalam khemah yang didirikan di laluan menghala masuk ke pusat bandar bagi kemudahan anggota keselamatan melaksanakan sekatan jalan raya di lokasi itu. – Gambar ihsan Facebook JPST KL, 15 November, 2020.

SEORANG anggota polis trafik cedera selepas bumbung sebuah khemah di sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Plaza Tol Jalan Duta di Kuala Lumpur, runtuh akibat angin kencang, petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata, ketika kejadian anggota polis berkenaan sedang berteduh di dalam khemah yang didirikan di laluan menghala masuk ke pusat bandar bagi kemudahan anggota keselamatan melaksanakan sekatan jalan raya di lokasi itu.

Menurutnya, hujan lebat berserta angin kencang menyebabkan bahagian bumbung khemah itu tiba-tiba runtuh lalu menghempap anggota polis itu mengakibatkan beliau mengalami kecederaan di bahagian kepala dalam kejadian kira-kira 6 petang tadi.

“Mangsa yang bertugas di Bahagian Kawalan Lalulintas JSPT Kuala Lumpur kini berada di Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Zulkefly berkata sekatan jalan raya di Plaza Tol Jalan Duta mula dilaksana sejak 14 Okt lalu apabila PKPB mula dikuatkuasakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor. – Bernama, 15 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen