Putrajaya cuai tanggungjawab tangguh SPM, STPM kata ibu bapa, pendidik


Hailey Chung Wee Kye

Nasib pelajar di institusi pendidikan kini terumbang-ambing dengan operasi sekolah ditutup dan penangguhan peperiksaan kebangsaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2020.

PENANGGUHAN berterusan peperiksaan kebangsaan utama pra-universiti dan persekitaran tidak stabil yang ditetapkan Kementerian Pendidikan menyebabkan penderitaan mental kepada pelajar, ibu bapa dan pengurusan pengajian tinggi, kata pihak berkepentingan yang terlibat.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa penangguhan itu adalah tidak adil dan menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab kementerian.

Mereka ingin kerajaan berusaha dan konsisten dalam dasar-dasaranya di samping memberikan bantuan dan membaiki keadaan dalam skala besar.

Para pihak berkepentingan itu juga ingin kerajaan memiliki koordinasi yang lebih baik dan memberikan institusi pendidikan kuasa untuk membuat keputusan profesional.

“Ini tidak membantu ketika kementerian mengganggu momentum perjalanan sistem pendidikan dengan perubahan tarikh yang sering dilakukan,” kata Dr Sharifah Munirah Syed Alatas, pensyarah kanan dalam kajian strategik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Kebimbangan berkaitan sekolah dialami di seluruh dunia dan telah banyak ditulis.

“Tetapi kerajaan di tempat lain berusaha untuk menampung kesulitan ini dan berusaha untuk membuat derita peralihan norma itu seminimum yang mungkin, baik untuk guru, ibu bapa dan pelajar,” katanya, sambil menambah jalan terbaik untuk ke depan adalah dengan konsisten mewartakan apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan institusi sepanjang wabak ini.

Menteri Pendidikan Dr Radzi Md Jidin minggu lalu mengumumkan bahawa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dimulakan pada 22 Februari sementara peperiksaan Sijl Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dijadualkan bermula pada 8 Mac tahun depan.

Ini adalah kali kedua peperiksaan SPM ditangguhkan kerana wabak Covid-19.

Sebelum ini, peperiksaan SPM ditangguhkan dari 6 Januari hingga 9 Februari 2021, dari jadual asal 16 November hingga 7 Disember 2020.

Seramai 400,445 orang murid telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM untuk tahun 2020, peperiksaan STPM semester 1 atau 6 rendah (5,956) dan peperiksaan semester 3 atau 6 atas (47,008).

Kementerian juga menangguhkan peperiksaan sekolah utama yang lain termasuk Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) juga akan bermula pada 22 Februari.

Sharifah berkata penangguhan berulang kali, termasuk peperiksaan dalaman dan percubaan di sekolah, telah menimbulkan banyak kesusahan di kalangan pelajar sehingga ada yang berhenti sekolah kerana kehilangan minat dan secara tidak langsung, merosakkan masa depan mereka.

Noor Azimah Abdul Rahim, ketua Parent Action Group for Education Malaysia (Page) berkata walaupun bilangan kes Covid-19 di Malaysia lebih rendah dibanding angka negara lain di seluruh dunia, virus ini telah menjadi sebab utama bagi menentukan penutupan sekolah di seluruh negara dan menangguhkan peperiksaan besar.

“Menurut nasihat Unicef, WHO dan Unesco, walaupun terdapat kes sporadik atau transmisi kluster, kebanyakan sekolah harus tetap dibuka, dengan mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan ketat.”

Noor Azimah juga turut menunjukkan hasil laporan dari Ofsted UK, sebuah jabatan bebas yang memeriksa piawaian dalam pendidikan, perkhidmatan dan kemahiran kanak-kanak, yang mengatakan anak-anak mengalami kemunduran dalam kemahiran asas belajar jika mereka semakin lama dihalang untuk menghadiri sisi persekolahan.

“Situasi ini semakin diperburuk (di Malaysia) dengan jumlah pelajar berhenti sekolah menjadi lebih banyak seperti yang dibuktikan laporan oleh Unfpa (United Nations Population Fund) yang menyaksikan kadar berhenti sekolah sebanyak 7% (9% di kalangan kanak-kanak lelaki)”.

Kesan lain daripada penangguhan sesi persekolahan berterusan ini juga turut menjejaskan kedudukan kewangan universiti swasta.

“Kita tidak perlukan menteri atau agensi yang tidak memahami kesan dasar-dasar di sekolah, terhadap pendaftaran, pengambilan pekerja, penyelidikan, penyampaian kursus, penilaian di universiti.

“Menteri harus teliti penangguhan ini, bukannya secara membuta tuli atau mengubah polisi tanpa visi jangka panjang,” kata Dr Sharifah.

Beliau turut melahirkan kebimbangan kanak-kanak akan kehilangan waktu pendidikan yang berharga akibat lewat graduasi dan bergelut untuk beradaptasi dengan “dunia nyata” selepas ekonomi stabil.

Sementara itu, Noor Azimah berkata, matrikulasi, kolej dan IPTA yang sedang menunggu arahan dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), harus menyesuaikan diri dan bersedia.

“Mereka boleh merancang cara kemasukan lain seperti melalui ujian kemasukan yang fokus pada pemikiran kritis dan penyelesaian masalah atau melalui rekod akademik sebelumnya.

“Sebaiknya institusi pengajian tinggi awam dan swasta mengawal keadaan itu sendiri tanpa terlalu bergantung pada arahan KKM.

“Menteri pendidikan tinggi perlu diberi nasihat dan kemudian menentukan arahan yang meluas. Pihak berkepentingan perlu dirunding dan didengari dan tentukan siapa  yang akan laksanakan.

Dr Sharifah, yang juga seorang aktivis intelektual, turut membangkitkan isu pengajian akademik di universiti yang terjejas dengan prosedur operasi standard (SOP) yang tidak jelas.

“Sistem pendidikan kita nampaknya huru-hara. Kepimpinan tak ada di peringkat kementerian, agensi dan universiti. 

“Koordinasi adalah hal serius, ini menjelaskan kenapa sektor pendidikan kita terus berantakan.” – 15 November, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen