Kes baharu Covid-19 masih kekal 4 digit, Lembah Klang catat penurunan 


Alfian Z.M. Tahir

KES jangkitan Covid-19 masih kekal empat digit buat dua hari berturut-turut apabila 1,114 kes direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas.

Bagaimanapun kes hari ini mencatatkan sedikit penurunan berbanding semalam yang mencatatkan 1,304 kes.

Kes baharu di Lembah Klang menunjukkan penurunan apabila hanya 217 kes dicatatkan hari ini.

Sabah terus mencatatkan kes paling banyak dengan 391 kes disusuli Negeri Sembilan iaitu 371 kes yang kebanyakannya dari kluster Cergas dengan 363 kes.

Secara keseluruhannya, Malaysia merekodkan 46,209 kes jangkitan Covid-19.

“Kebanyakan kes di Lembah Klang hari ini daripada kluster yang sedia ada dengan 145 kes.

“Di Negeri Sembilan, 97.8% kes hari ini dikesan daripada kluster Cergas.

“Sementara itu, 65 kes dikaitkan dengan kluster penjara iaitu 45 dari kluster Tembok, 14 kluster penjara Seberang Perai, 3 kluster penjara Sandakan, 2 daripada kluster Kepyan dan hanya 1 dari kluster GK Tawau.

“Daripada 1,114 kes baharu hari, dua merupakan kes import melibatkan seorang individu dari Indonesia dan seorang dari Jordan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, sebanyak 803 kes pulih direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan keseluruhan kes pulih 33,772 kes.

“103 pesakit masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi dengan 43 daripadanya perlu menggunakan alat bantuan pernafasan,” tambahnya.

Dua kematian turut dicatatkan hari ini menjadikan keseluruhan kes korban kepada 306 kes. – 14 November, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen