Lebih 500 kes langgar PKPB dalam tempoh 24 jam, kata menteri


Noel Achariam

Anggota polis dan tentera dikerah untuk mengawal kawasan PKPD di Semporna, Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2020.

LEBIH 500 individu ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam tempoh 24 jam lepas, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Daripada jumlah itu, seramai 470 individu dikenakan kompaun dan 32 lagi direman, katanya dalam satu kenyataan.

Antara kesalahan yang dilakukan termasuk gagal mematuhi SOP penjarakan sosial (204), tidak memakai pelitup muka (99), premis beroperasi lebih masa dan tanpa kebenaran (63), gagal mencatat maklumat pelanggan (55), rentas daerah (40) dan lain-lain (41).

Bagi perkembangan Operasi Benteng, seramai 38 pendatang tanpa izin dan dua tekong ditahan dalam tempoh yang sama.

“Polis juga menemumkan empat kenderaan darat,” kata Ismail Sabri.

Katanya sebanyak 250 sekatan jalan raya dibuat oleh tentera dan polis.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki negara ini secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus memastikan kawalan ketat di sempadan.”

Beliau berkata dari tempoh 24 Julai hingga 13 November, seramai 66,832 individu pulang ke tanah air menerusi sempadan antarabangsa.

“Daripada jumlah itu, 9,569 individu menjalani kuarantin wajib dan 388 lagi dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Seramai 56,866 individu telah discaj dan dibenarkan pulang ke rumah.” – 14 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen