Kastam tumpaskan cubaan seludup rokok, arak


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan cubaan penyeludupan rokok dan minuman keras, selepas menahan sebuah kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor pada 11 November lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Johari Alifiah dalam kenyataannya hari ini berkata, barangan yang dirampas ialah 440 karton rokok bersamaan dengan 88,000 batang rokok bernilai RM363,440 dengan anggaran duti cukai RM94,424. 

“Turut dirampas ialah 1,111 kotak bersamaan dengan 7,887 liter minuman keras bernilai lebih RM 32,017 dengan duti cukai RM314,199.

“Jumlah keseluruhan anggaran nilai rokok dan minuman keras yang dirampas ialah RM395,457 manakala anggaran duti cukai ialah RM408,623,” katanya.

Johari berkata, modus operandi yang digunakan adalah cubaan mengikrar dagangan sebagai barangan makanan.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 di bawah beberapa kesalahan, seperti cubaan mengimport apa-apa barang-barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000, yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Johari berkata satu lagi kesalahan ialah dengan disedari terlibat dalam mengangkut, memindah atau menguruskan apa-apa barang berduti dengan niat memfraud kerajaan di bawah Seksyen 74(1)(d) Akta Eksais 1976. 

Jika sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan  denda tidak kurang 10 kali amaun duti eksais atau RM100,000, mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, dan tidak lebih daripada 20 kali amaun duti eksais atau RM500,000, mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, atau pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua- duanya. – Bernama, 14 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen