Remaja Palestin ditangkap selepas videonya tampar askar Israel tular


Ahed Tamimi dari kampung Nabi Saleh di Tebing Barat, Palestin ditahan askar Israel susulan videonya menampar askar tular. – Gambar Twitter, 19 Disember, 2017.

TENTERA Israel menahan seorang remaja Palestin pada Selasa selepas rakaman videonya menampar anggota tentera Israel di Tebing Barat yang diduduki mereka tersebar.

Video yang dikatakan diambil pada Jumaat menunjukkan dua gadis remaja Palestin mendekati dua tentera Israel, sebelum menolak, menendang dan menampar mereka semasa merakamnya menggunakan telefon bimbit.

Wajah tentera bersenjata itu tidak langsung menunjukkan sebarang tindak balas dalam kejadian yang dilihat sebagai memprovokasi dan bukannya tindakan membahayakan. Mereka kemudian bergerak ke belakang.

Kejadian itu dipercayai berlaku di rumah keluarga seorang daripada gadis itu, Ahed Tamimi, 17, di kampung Nabi Saleh di Tebing Barat, Palestin.

Pada pagi Selasa tentera Israel menyerbu rumah Tamimi dan menangkapnya, kata bapanya Bassem, menuduh tentera merampas telefon, komputer dan peralatan elektronik lain.

“Mereka tidak memberi alasan bagi penangkapannya,” kata Bassem kepada AFP.

Keluarga Tamimi adalah antara penentang pendudukan tentera Israel di Tebing Barat, dan gambar Ahed sebagai kanak-kanak yang menggigit tangan seorang askar untuk menghentikan penangkapan seorang abangnya menjadi imej simbolik.

Gambar itu dan lain-lainnya mengakibatkan dia diterima oleh Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan pada 2012.

Seorang lagi ahli keluarga, Mohammed, sedang beransur pulih di hospital selepas ditembak di kepala dengan peluru getah pada Jumaat, kata keluarga itu.

Video Tamimi dan tentera itu digunakan secara meluas oleh media Israel, yang sering menuduh penunjuk perasaan Palestin sengaja memprovokasi tentera agar tindak balas ketika ia difilemkan.

Menteri Perisikan Yisrael Katz berkata menerusi radio awam yang dia “mendidih marah” ketika melihat video itu.

“Tetapi tentera melakukan perkara yang betul.”

Menteri Pelajaran Naftali Bennett berkata Tamimi mungkin menghadapi hukuman penjara tujuh tahun. –AFP, 19 Disember, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen