TINDAKAN seorang lelaki disyaki pengedar dadah yang cuba melarikan diri daripada sebuan polis dengan terjun dari tingkat dua sebuah flat di Petaling Jaya, memakan diri apabila mengalami patah kaki, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mahsariman Ku Mahmood berkata dalam kejadian pada pukul 8 malam di Blok B Flat Pelangi Damansara itu, lelaki berusia 24 tahun itu patah kaki kanan dan kiri serta tulang belakang.
“Suspek terpaksa menjalani pembedahan akibat kecedaraannya itu. Sebelum itu, dia dilihat memegang beg galas dan berada dalam keadaan mencurigakan di kaki lima tingkat 12 flat berkenaan sebelum melarikan diri ke tingkat dua semasa pemeriksaan hendak dilakukan,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.
Suspek kemudian ditahan di tingkat bawah flat berkenaan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapat rawatan.
Katanya, pemeriksaan terhadap beg tersebut menemukan lapan paket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu, anggaran berat 104 gram.
Ku Mahsariman berkata, suspek mempunyai satu rekod lampau kes dadah dan direman tujuh hari sehingga 19 November. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama, 13 November, 2020.
Komen