Beri tumpuan pada pelajar B40 untuk masa depan negara, kata pakar


Hailey Chung Wee Kye

Pelajar dari keluarga miskin tidak dapat meneruskan pelajaran sepanjang pandemik Covid-19 kerana tidak mampu mendapatkan akses dan kelengkapan yang sempurna. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2020.

PAKAR pendidikan dan penyokong hak asasi kanak-kanak menyatakan kebimbangan bahawa negara tidak akan maju sekiranya kerajaan tidak memperkukuhkan sistem pendidikan yang kini terjejas akibat pandemik Covid-19.

Mereka mencadangkan agar pendekatan bersasar harus dimulakan untuk pelajar dari latar belakang miskin agar mereka tidak ketinggalan.

Ketika sekolah beralih kepada kelas dalam talian, satu daripada lima pelajar dalam kalangan keluarga miskin didapati hilang minat untuk belajar manakala 7% daripada pelajar menengah atas tidak lagi menyertai sesi pembelajaran sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Perkara itu didedahkan dalam laporan terbaharu “Families on The Edge”, iaitu sebuah kajian bersama oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) dan Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA) ke atas miskin bandar di Kuala Lumpur. 

Kebanyakan kanak-kanak ini hanya ada sedikit atau tiada langsung akses untuk pembelajaran kerana ketiadaan internet atau peralatan yang terhad, menurut laporan itu. 

Dalam temubual yang dijalankan oleh The Malaysian Insight terhadap kanak-kanak yang tinggal di flat kos rendah turut mendedahkan mereka sudah hilang motivasi diri untuk terus belajar.

Pengasas bersama Voice of the Children (VoC) Sharmila Sekaran berkata, “Sekiranya kita tidak menangani isu pendidikan dengan segera, kita akan mewujudkan negara yang tidak berpendidikan. 

“Walaupun ia dapat memenuhi tujuan politik, pada akhirnya, kita akan menjadi bangsa yang mudah diambil alih, ini adalah masalah yang sebenarnya.”

Mengulas mengenai dapatan laporan “Families on the Edge”, Sharmila berkata satu daripada lima hari ini adalah pertumbuhan pesat hari esok kerana satu daripada lima ini akan terus memiliki keluarga.

“Statistik menunjukkan masyarakat yang miskin lebih cenderung memiliki anak ramai,” katanya yang juga penasihat hak asasi kanak-kanak kepada beberapa jawatankuasa khas kerajaan untuk mempertimbangkan keperluan pembaharuan undang-undang bagi memastikan perlindungan kanak-kanak.

Beliau percaya bahawa kesan terhadap literasi kanak-kanak miskin bandar adalah kesan kepada seluruh masyarakat.

“Perpaduan adalah kekuatan sebuah negara. Jika kita gagal memastikan orang yang paling lemah dalam kalangan kita mempunyai standard tertentu, maka sebagai sebuah negara, kita akan jatuh.”

Tiada akses internet dan kekurangan peralatan menjadi punca pelajar dari golongan B40 tidak lagi berminat untuk meneruskan pembelajaran.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 November, 2020.

Kementerian Pendidikan baru-baru ini mengumumkan penutupan sekolah di seluruh negara sehingga Januari tahun depan berikutan risiko jangkitan Covid-19, satu langkah yang tidak dipersetujui oleh Education International, iaitu sebuah organisasi guru global yang mempunyai 33 juta ahli dari 172 negara.  

Ketua penyelaras Education International Asia Pasifik Anand Singh berkata ini merupakan isu yang dihadapi seluruh dunia namun perkara yang paling wajar dilakukan adalah mencari jalan untuk memastikan sekolah terus dibuka. 

“Sepanjang 10 hingga 15 tahun lalu, kita telah melakukan elbagai usaha untuk meningkatan akses kanak-kanak dari golongan B40 kepada pendidikan. Namun oleh kerana sekolah ditutup, kita berisiko untuk kehilangan semua itu. 

“Ini merupakan kumpulan pelajar yang mungkin tidak akan kembali ke sekolah, dan kita akan mundur 10 tahun ke belakang.

“Pelajar ini mungkin akan kembali menjadi buruh dan perhambaan kanak-kanak, terbabit gangguan seksual dan semua itu akan berulang,” kata Anand. 

Education International selalu berhubung dengan guru di seluruh dunia ketika mereka mencari jalan untuk terus melanjutkan pendidikan walaupun ketika pandemik. 

Anand mencadangkan agar kerajaan turut berbincang dengan pihak berkepentingan, terutamanya guru dan kesatuan guru. 

“Mungkin kerajaan perlu melabur untuk sanitasi di sekolah atau mewujudkan penjarakan sosial dalam kelas.

“Ini boleh dibincangkan dengan pengamal pendidikan, iaitu guru kita yang mengenali pelajar mereka dan tahu realiti yang dihadapi pelajar.”

Sharmila menambah bahawa hanya sedikit yang usaha dilakukan untuk memberi inspirasi kepada anak-anak B40 dan pendekatan bersasar diperlukan bukan silibus pendidikan menyeluruh untuk semua pelajar di negara ini.

“Bagi pelajar dari masyarakat miskin, terdapat ibu bapa yang tidak yakin pendidikan merupakan cara untuk maju ke hadapan. Tiada aspirasi. 

“Sekiranya pendapatan yang diperlukan dalam sesebuah keluarga, apabila seorang pelajar itu mencapai umur tertentu maka mereka diharapkan dapat menyumbang kepada pendapatan daripada pergi ke sekolah.

“Banyak yang perlu dilakukan bagi memastikan anak-anak mampu dan mahu menyesuaikan diri dengan sistem sekolah dan juga menyatakan kebimbangan kepada ibu bapa.” – 14 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen