Lembah Klang atasi Sabah dengan 567 kes baharu Covid-19


Alfian Z.M. Tahir

Peniaga memakai pelitup muka ketika berniaga di sebuah pasar di Kota Kinabalu, Sabah. Lembah Klang merekodkan kes harian Covid-19 tertinggi mengatasi Sabah hari ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2020.

LEMBAH Klang buat pertama kalinya sepanjang tempoh pandemik Covid-19, merekodkan jumlah kes jangkitan tertinggi dalam sehari dengan 567 kes, mengatasi Sabah yang mencatatkan 556 kes jangkitan baharu.

Jumlah keseluruhan kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam lalu adalah 1,304 sekaligus menyaksikan peningkatan angka harian empat digit selepas mencatatkan kurang 1,000 kes sejak beberapa hari lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Lembah Klang merekodkan 567 kes hari ini. Selangor adalah yang tertinggi dengan 364 kes diikuti Kuala Lumpur dengan 202 dan Putrajaya satu kes jangkitan,” katanya.

“Sabah pula mencatatkan 556 kes positif.”

“Daripada 567 kes di Lmbah Klang, 488 kes adalah daripada kluster yang telah dikesan.

“Hari ini, 33 kes adalah berkaitan kluster daripada pusat tahanan sementara dan penjara. Kluster Penjara Seberang Perai ada 29 kes. Penjara Kepayan dengan lapan kes, Rumah Merah tiga dan kluster Tembok dua kes,” tambah Dr Noor Hisham.

Sementara itu, daripada 1,304 kes, empat adalah kes import melibatkan tiga individu daripada Arab Saudi dan satu dari Mesir.

Negeri lain yang merekodkan kes baharu hari ini adalah Negeri Sembilan 83 kes, Pulau Pinang 42 kes, Sarawak, Melaka dan Perak 13 kes, Kedah dan Kelantan 5 kes, Labuan 4, Johor 3 dan Putrajaya 1 kes.

Mengulas mengenai kes pulih, Dr Noor Hisham berkata Malaysia terus merekodkan kadar kes pulih tinggi dengan 900 kes pada Jumaat.

“Dengan 900 kes pulih hari ini, jumlah individu yang bebas Covid-19 mencecah 32,969,” katanya.

Satu kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian 304 orang. – 13 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen