3 penumpang dibenarkan dalam 1 kenderaan, kata Ismail Sabri


Hailey Chung Wee Kye

Tiga orang dari rumah yang sama dibenarkan untuk melakukan perjalanan dengan satu kenderaan mulai hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2020.

KERAJAAN mengumumkan bahawa tiga orang dari rumah yang sama dibenarkan untuk melakukan perjalanan dengan satu kenderaan mulai hari ini.

Ini perubahan yang dilakukan dalam SOP sebelum ini yang hanya membenarkan dua orang dari rumah sama melakukan perjalanan dengan kereta yang sama.

“Selepas perbincangan, mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara hari ini membuat keputusan untuk membenarkan tiga individu berada dalam satu kereta yang sama.

“Ini juga untuk teksi dan e-hailing di mana seorang pemandu boleh membawa dua penumpang pada satu masa,” kata Menteri Kanan dalam sidang media hariannya hari ini.

Beliau berkata MKN telah melonggarkan peraturan tersebut setelah menerima banyak aduan daripada orang ramai.

Awal minggu ini Ismail Sabri menjelaskan bahawa penumpang kedua di dalam kereta boleh duduk di sebelah pemandu dan bukan di tempat duduk belakang. 

“Kami membenarkan dua orang dari rumah yang sama melakukan perjalanan dengan satu kereta untuk membeli keperluan penting dan atas budi bicara polis terpakai bagi penumpang lebih daripada dua orang.

“Sebagai contoh perlu bawa ibu dan bapa ke klinik kesihatan atau hospital, atau suami dan isteri perlu bawa anak-anak mereka yang masih kecil sekali, yang memang masih tidak sesuai untuk ditinggalkan bersendiri.

“Polis memberitahu kami bahawa Kadang-kadang agak sukar untuk polis gunakan budi bicara ini.. Oleh itu untuk perkara ini kami memutuskan untuk melonggarkan peraturan,” katanya.

Selain itu beliau berkata masih ramai yang merentas negeri untuk tujuan bekerja.

“Saya tahu ramai yang melakukan perjalanan dari Negeri Sembilan untuk bekerja di Kuala Lumpur atau Selangor, atas sebab itulah kami menyarankan peraturan kerja dari rumah.

“Buat masa ini kami membenarkan selepas mereka menunjukkan surat tetapi kami akan melihat jika ada keperluan untuk melonggarkan peraturan ini,” katanya. – 13 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen