Patuhi SOP Covid-19 ketika sambut Deepavali, kata Ismail Sabri 


Hailey Chung Wee Kye

Dua wanita berkunjung ke sebuah kedai pakaian di Brickfields untuk persediaan menyambut perayaan Deepavali.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 November, 2020.

MENTERI Kanan Ismail Sabri hari ini mengingatkan mereka yang meraikan sambutan Deepavali esok agar mematuhi prosedur operasi standard Covid-19 yag ditetapkan. 

Menurutnya polis akan menjalankan rondaan di kawasan perumahan dan perkampungan bagi memastikan pematuhan SOP. 

Katanya hanya 20 individu dibenarkan dalam rumah dan antara 10 hingga 15 orang di dalam apartmen bergantung kepada saiz. 

Hanya 30 individu dibenarkan berada di kuil untuk upacara keagamaan sempena Deepavali, tambahnya.

“Dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ahli keluarga hanya boleh menyambut perayaan bersama isi rumah mereka. 

“Bagi kawasan PKP Bersyarat, jiran boleh membuat berkunjung tetapi tidak boleh lebih 20 orang pada satu masa.

“Kepada mereka yang bersembahyang di kuil, SOP adalah 30 orang pada satu masa dengan tempoh maksimum 30 minit,” kata Ismail Sabri pada sidang media harian hari ini. 

Beliau juga menegaskan perjalanan merentas sempadan di kawasan PKPD dan PKPB masih tidak dibenarkan. 

“Saya harap tiada yang cuba balik kampung atau kamu akan diarah patah balik,” katanya.

SOP bagi perayaan Deepavali diumumkan minggu lalu bagi mengehadkan perjalanan dan berkumpul dalam usaha mengekang penularan Covid-19. – 13 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen