.jpg)
PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) sangat kecewa dengan isu Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) dan bagaimana ia dikendalikan.
Majlis Kawalselia Umrah (MKSU) mendakwa ia ditubuhkan untuk menghentikan penipuan umrah yang semakin meningkat setiap tahun.
Berlanjutan dari ini, persoalan yang harus diketengahkan adalah kenapa harus diwujudkan sebuah sistem yang akan diuruskan oleh syarikat pihak ketiga dan yang akan menyebabkan jemaah umrah menanggung kos RM90.10 tambahan atas kos yang mereka akan bayar untuk menunaikan ibadah umrah?
Selain itu, sejurus IMAMS dibatalkan, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Mas Ermieyati Samsudin menyatakan mereka akan mewujudkan satu mekanisme baru untuk menentang penipuan umrah.
Sekali lagi kami bertanya mengapa perkara sedemikian diperlukan. Lesen Khas Umrah yang diberikan kepada agensi pelancongan yang mempunyai status muassasah (kebenaran untuk mengurus jemaah haji) dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (KPKM).
Kenapa jabatan penguatkuasaan kementerian tersebut tidak mengambil tindakan terhadap penipu ini?
CAP berpendapat langkah yang bijak adalah bagi Tabung Haji mengambil alih pengurusan kedua-dua lesen untuk haji dan umrah dan tidak melibatkan KPKM.
Ini kerana Tabung Haji sudah mempunyai mekanisme yang diperlukan, dan pendekatan yang terakhir perlu dilakukan adalah hanya untuk menggabungkan perkara-perkara berkaitan umrah ke dalam mekanisme yang sedia ada.
Seawal September 2016, CAP telah menghubungi Tabung Haji mengenai peningkatan kadar penipuan umrah.
Statistik penipuan umrah yang kami ada pada masa itu, yang diambil daripada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, menunjukkan terdapat 2761 mangsa dari tahun 2012 hingga 2015 dengan anggaran kerugian sebanyak RM19 juta.
Pada Januari 2017, Tabung Haji memberi maklum balas yang mengikut Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), perkara-perkara yang berkaitan dengan umrah tidak termasuk di bawah bidang kuasa mereka.
Pada Oktober 2017, Tabung Haji memaklumkan walaupun haji adalah ibadah bermusim, namun persediaan untuk haji dilaksanakan sepanjang tahun; dan ia memang patut untuk MKSU, yang ditubuhkan tiga tahun lalu di bawah KPKM, untuk mengendalikan perkara-perkara ibadah umrah.
Ini diberitahu selepas kami mencadangkan Tabung Haji mengambil alih urusan umrah kerana penipuan yang masih berleluasa di bawah KPKM.
Kami menggesa Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) dipinda bagi memasukkan perkara-perkara ibadah umrah ke dalam akta tersebut, seperti kami telah menggesa dari hari pertama kami tujukan isu penipuan umrah.
Kami juga mencadangkan Tabung Haji mengambil lebih ramai kakitangan, bahawa pekerja mereka mempelajari kemahiran pengurusan dan bahawa mereka memperbaharui sistem mereka jika perlu.
Mereka mesti melakukan semua yang diperlukan untuk membolehkan Tabung Haji menjadi badan yang mengendalikan hal ehwal umrah.
Kami percaya ini adalah cara terbaik untuk menghapuskan penipuan umrah daripada berlaku. – 19 Disember, 2017
* SM Mohamed Idris adalah presiden CAP.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen