Pemuda Bersatu muncul dengan kekuatan baharu, kata Wan Ahmad Fahysal


Diyana Ibrahim Kamles Kumar

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal berkata Pemuda tidak mahu lagi bersandar pada kekuatan individu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 November, 2020.

PEMUDA Bersatu tidak mahu lagi bersandar pada kekuatan individu, kata ketuanya yang baharu Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal, yang menang pemilihan sayap pada Ogos lalu.

Beliau menjanjikan era baru Pemuda Bersatu atau Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), yang akan lari dari bayangan sosok tertentu seperti semasa di bawah kepimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini.

“Kalau kita lihat dulu kekuatan Armada tertumpu kepada sorang sosok yang agak terkenal dan disenangi dalam media sosial iaitu Syed Saddiq.

“Kepimpinan baharu di bawah saya, kami lihat perkara ini patut diperbaiki kerana sebuah parti politik harus jadi terkenal atau berkarisma bukan saja (atas) sosok pimpinan utama tapi sayap itu sendiri,” katanya dalam temu bual dengan The Malaysian Insight, baru-baru ini.

Malah senator yang dilantik timbalan menteri ini tekad mahu Pemuda Bersatu lebih mengangkat nasionalisme Melayu sebagai asas kekuatannya yang baharu.

“Rata-rata memilih saya mahu melihat Armada bersifat kemelayuan dan ada asas nationalisme yang jelas berbanding kepimpinan sebelum ini,” katanya.

Cetak pemimpin Melayu

Jelasnya, Pemuda Bersatu mahu mengikut jejak Pemuda Umno yang melahirkan ramai pemimpin berkredibiliti dan menjadi suara kuat dalam politik Melayu.

“Seperti mana Pemuda Umno, setiap yang lahir dari kilang Pemuda Umno akan dihormati masyarakat dan Armada berhasrat untuk menawarkan imej begitu kepada masyarakat… bahawasanya siapa yang sertai kami, kita akan cetak pemimpin Melayu baharu yang bermaruah, ada intergriti dan punyai wawasan jelas,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal memenangi jawatan Pemuda Bersatu selepas mengalahkan pesaingnya Mohd Muzzamil Ismail.

Ia adalah pemilihan pertama Bersatu sejak penubuhan parti pada September 2016.

Pemilihan berlangsung kebetulan selepas Syed Saddiq dan beberapa bekas pengasas Bersatu tersingkir dari parti kerana tidak menyokong kepimpinan presiden Muhyiddin Yassin yang jga perdana menteri kerajaan Perikatan Nasional.

Pemuda Bersatu mahu mengikut jejak Pemuda Umno yang melahirkan ramai pemimpin berkredibiliti dan menjadi suara kuat dalam politik Melayu, kata ketuanya Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2020.

Wan Ahmad Fahysal yakin beliau kini sudah mula menyatukan kelompok dalam sayap atas nama perjuangan parti. 

“Selepas menangi pemilihan kita rapatkan semula saf dan kumpulan yang dilihat sebagai kem lain kita letak dan beri peluang untuk menganggotai jawatan dan biro penting dalam Armada… sesuai dengan kelayakan dan majoriti undi yang mereka terima,” katanya.

Pemuda Bersatu mendekati anak muda

Merenung ke masa depan, Wan Ahmad Fahysal mahu Pemuda Bersatu yang menjadi tunjang parti menawan hati generasi muda Malaysia baik di bandar mahu pun di luar bandar.

Beliau tidak mahu Pemuda Bersatu dipandang rendah untuk “bermain” di bandar kerana sayap itu boleh menjadi konservatif atau progresif mengikut kesesuaian.

”Kami ingin tawan jiwa pengundi muda bandar tapi kami kena tukar topilah. Ada masa di luar bandar kami tukar naratif dan di bandar naratif kami mainkan (naratif bandar), yang mungkin sama dengan Muda,” katanya, merujuk parti baharu Syed Saddiq, Ikatan Demokratik Malaysia.

Wan Ahmad Fahysal tidak melihat satu masalah bagi Pemuda Bersatu untuk menyesuaikan naratifnya mengikut cita rasa pengundi muda.

“Tidak bermakna kami cakap Melayu tapi tak faham apa yang parti Muda bawakan… tentang ekonomi anak muda, revolusi industri 4.0. 

“Saya juga dilatih di barat, di London, dan saya sebenarnya lebih progresif daripada Syed Saddiq dalam beberapa hal.

“Tapi kita kena tahulah siapa pengundi kita. Di bandar kita kena bercakap dalam lenggok urban atau ‘Bangsar bubble’. Di kampung kita boleh bercakap seperti pemimpin PAS dan Umno,” katanya.

Bangsar Bubble atau kepompong Bangsar adalah istilah yang merujuk kepada kumpulan di bandar yang tidak memahami konteks politik Malaysia yang sebenar dan menyeluruh.

“Kita tak kekok dan berlaku adil pada semua pengundi, bukan saja anak muda tetapi orang tua. Kita perlu ingat bahawa parti ini adalah untuk mempertahankan kepentingan orang Melayu,” katanya.

Beliau menegaskan Bersatu akan mendekati semua golongan tetapi tidak mengabaikan teras kepentingan Melayu. – 13 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen