BEKAS Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memfailkan saman pemula untuk mengisytiharkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap kerugian forex Bank Negara sebagai tidak sah.
Beliau menamakan Perdana Menteri Najib Razak, jemaah menteri dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Turut dinamakan ialah kesemua lima anggota panel RCI iaitu: Mohd Sidek Hassan, Kamaludin Md Said, Tajuddin Atan, Saw Choo Boon dan Pushpanathan SG Kanagarayar. Setiausaha RCI Yusof Ismail juga dinamakan sebagai defendan.
Saman pemula tersebut antara lainnya menyebut, RCI berkaitan Laporan Forex berkenaan “tidak sah, tidak lengkap dan cacat”.
Saman yang difailkan peguamnya, Haniff Khatri Abdulla itu membangkitkan mengenai bahan dan lampiran didakwa tidak dimasukkan ke dalam laporan berkenaan.
Dalam saman pemula tersebut, Dr Mahathir juga membangkitkan bahawa laporan akhir itu tiada hujah bertulis daripada 25 saksinya.
Transkrip soalan, dan sesi jawapan antara panel RCI, pegawai bertugas, peguam pemerhati dan saksi-saksi juga tiada.
Dr Mahathir juga membangkitkan, tajuk perbincangan termasuk permintaan untuk menarik balik saksi-saksi tertentu untuk disoal peguam pemerhati, juga tidak disertakan dalam laporan berkenaan.
Saman pemula itu menyatakan bahawa keseluruhan prosiding RCI perlu disediakan secara transkrip atau rakaman video.
Peguamnya Haniff Khatri ketika dihubungi menyebut, saman itu selari dengan pendirian anak guamnya selama ini.
“Tun Dr Mahathir Mohamad sentiasa konsisten dengan pendirian beliau, iaitu laporan akhir itu tidak lengkap tanpa hujah bertulis saksi-saksi,” katanya.
“Kami menaruh kepercayaan kepada sistem perundangan,” kata Haniff kepada The Malaysian Insight.
Dr Mahathir memfailkan saman tersebut melalui firma guamannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. – 19 Disember, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Shahrul Aiman · Ulasan