Gerakan baharu bawa suara calon bebas di Parlimen 


Hailey Chung Wee Kye

Pergerakan politik yang diberi nama Gerak Indipendent sedia menghadapi pilihan raya umum akan datang dan yakin akan membawa perubahan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2020.

SATU gerakan politik baharu yang diberi nama Gerak Independent (GI) sedia untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang bagi memastikan calon bebas benar-benar mewakili suara rakyat di Parlimen.

GI yang merupakan kerjasama kumpulan dan warganegara, merancang untuk meletakkan 20 calon bebas di kerusi Parlimen pada pilihan raya akan datang.

Menurutnya, jumlah itu cukup untuk membawa perubahan di Parlimen dan dalam tadbir urus, dan menambah tiada parti politik yang akan menyokong gerakan itu.

“Kita tidak perlukan ahli politik, tetapi kita memerlukan negarawan yang mahu berkhidmat kepada negara sepenuh hati, membawa usara rakyat di Parlimen tanpa rasa takut untuk semua rakyat Malaysia,” kata aktivis Arun Dorasamay yang merupakan salah seorang fasilitator GI.

Antara fasilitator lain yang turut hadir pada sidang media secara maya hari ini adalah Presiden Malaysian Action for Justice and Unity Foundation (Maju) Siti Kasim dan bekas calon bebas kerusi Parlimen Kelana Jaya Toh Sin Wah.

“Kami hanyalah sebuah NGO yang mempromosikan hak asasi manusia dan kebebasan awam sejagat,” kata Siti Kasim.

“Kami tidak memainkan sebarang permainan politik pun,” tambahnya.

GI dalam satu kenyataan berkata pihaknya mengalu-alukan calon berpotensi yang yakin dan memiliki nilai yang mencerminkan kemajuan, saintifik dan masyarakat yang setara seperti yang dibayangkan oleh Rukun Negara.

“Semua ini telah berlaku lebih dari 35 tahun dalam sejarah negara. Hari ini, kita mempunyai Parlimen yang retak tanpa visi, tanpa kepemimpinan dan berkesan tanpa nilai.

“Sebaliknya, kita mempunyai Parlimen yang dahagakan kuasa dan kedudukan dan wang. Sudah cukup lah,” kata GI dalam kenyataan itu.– 12 November, 2020.

Berita penuh di sini. 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen