Suhakam gesa lepaskan tahanan reman dengan syarat


Noel Achariam

BANDUAN reman bagi kesalahan kecil, jenayah bukan keganasan atau pengguna dadah perlu dibebaskan berserta syarat untuk menangani isu kesesakan di penjara, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Langkah ini sekali gus dapat membendung penularan jangkitan Covid-19 di penjara, tambah Suhakam.

Pesuruhjayanya Jerald Joseph berkata suruhanjaya itu memandang serius peningkatan kes Covid-19 pusat tahanan terutamanya di penjara, depoh tahanan Imigresen dan lokap.

“Pada awal penularan pada Mac, Suhakam telah kemukakan beberapa syor untuk mengatasi kepadatan di penjara dan depoh tahanan.

“Bagaimanapun, sekarang kita lihat berlaku jangkitan di banyak penjara dan ada yang merekodkan jumlah kes yang tinggi,” kata Joseph pada sidang media hari ini.

Menurut data yang dikumpul Suhakam, kapasiti penjara di seluruh negara sepatutnya menampung 53,830 banduan, tetapi sehingga 15 Oktober lalu jumlah banduan adalah 72,903 orang.

Menurut Joseph, kesesakan ini menyebabkan bukan sahaja banduan berisiko dijangkiti Covid-19, tetapi juga kakitangan, pegawai dan ahli keluarga.

Kerajaan dan Jabatan Penjara katanya perlu mengambil tindakan lebih serius supaya keadaan tidak menjadi lebih buruk, katanya.

Tambah beliau, Suhakam mengesyorkan banduan reman yang tidak berisiko kepada keselamatan awam atau menghidap penyakit kronik dibebaskan dengan syarat.

Begitu juga banduan reman bagi kesalahan kecil atau kes yang berkaitan dengan masalah sosio-ekonomi dan banduan warga emas yang berpenyakit termasuk sakit mental.

“Kami syorkan mereka dibebaskan, tetapi perlu melapor diri di balai polis terdekat.”

Beliau juga berkata kira-kira 30% banduan adalah banduan reman kerana tidak mampu membayar ikat jamin.

Bagi pusat tahanan Imiresen, Joseph berkata Suhakam mengesyorkan Jabatan Imigresen menghentikan semua operasi besar-besaran yang menangkap migran tanpa dokumen dan mencari langkah alternatif lain untuk menyelesaikan masalah ini seperti pemutihan atau pengampunan.

“Sejak Ogos 2019, Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) tidak diberi akses untuk memproses pelarian.

“Pihak berkuasa perlu beri akses kepada pihak UNHCR untuk memproses dan memberikan kad UNHCR kepada mereka yang layak dan seterusnya membebaskan mereka dari tempat tahanan,” katanya. – 12 November, 2020.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen