Jangan salah guna dasar mesra perniagaan, gesa ahli Parlimen KL


Ravin Palanisamy

Warga Kuala Lumpur dibenarkan untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai di sekitar bandar raya, mulai Ahad ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2020.

INISIATIF Menteri Wilayah Annuar Musa menjadikan Kuala Lumpur menjadi “wilayah bebas berniaga” selama enam bulan sebagai peluang kepada penduduk menambah pendapatan di tengah pandemik Covid-19 disambut baik ahli-ahli Parlimen Kuala Lumpur.

Namun mereka mengingatkan dasar berkenaan tidak disalahgunakan serta tidak membawa kepada masalah kebersihan dan kesesakan di ibu kota.

“Kami mengalu-alukan semangat menteri WP untuk bersikap mesra perniagaan dan menyediakan peluang perniagaan bagi mereka yang memerlukan terutama ketika waktu-waktu serba mencabar ketika kini. 

“Walau bagaimanapun, menteri WP mesti memastikan bahawa dasar baharu ini tidak disalahgunakan serta tidak menyumbang kepada masalah kebersihan dan kesesakan di bandar. 

“Aspek keselamatan juga harus menjadi pertimbangan utama dalam pelaksanaan dasar ini,” menurut kenyataan ditandatangani sembilan ahli Parlimen dari DAP dan PKR.

Sembilan ahli Parlimen yang menandatangani kenyataan itu ialah Tan Kok Wai (Cheras), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Teresa Kok (Seputeh), Tan Yee Kew (Wangsa Maju), Lim Lip Eng (Kepong), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), P Prabakaran (Batu) dan Hannah Yeoh (Segambut).

Kenyataan itu mengulas pengumuman Annuar kelmarin, iaitu warga Kuala Lumpur dibenarkan untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai di sekitar bandar raya, mulai Ahad ini.

Beliau berkata peniaga perlu memohon lesen perniagaan sementara yang sah selama enam bulan di laman web Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang ditawarkan secara percuma.

Berikutan pandemik Covid-19 menjejaskan kehidupan rakyat, ahli-ahli Parlimen berkenaan menggesa permohonan lesen turut dipermudahkan untuk lain-lain perniagaan.

“Pandemik ini juga telah memaksa penutupan lebih 30,000 PKS di seluruh negara. Untuk menjadi mesra perniagaan, menteri WP harus mempermudahkan permohonan lesen bukan hanya untuk penjaja tetapi juga lain-lain perniagaan,” menurut kenyataan itu.

Mereka juga berkata Annuar masih belum memanggil semua ahli Parlimen Kuala Lumpur sejak kenyataan terkahir mereka dikeluarkan lebih dua minggu lalu.

“Sudah 16 hari berlalu sejak kenyataan terakhir kami dan menteri WP masih belum memanggil pertemuan dengan semua ahli Parlimen KL. 

“Pertemuan ini sangat penting untuk perancangan dan perbelanjaan Belanjawan DBKL 2021, yang mana akan memberi kesan besar kepada kebajikan dan kesejahteraan warga Kuala Lumpur.”

Dalam satu kenyataan Pada 27 Oktober lalu, belum ada pertemuan diadakan sejak Annuar jadi menteri pada Mac. Dalam kenyataan sama itu juga mereka menggesa Majlis Menteri dikembalikan semula  yang diasaskan oleh bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad. – 12 November, 2020.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen