Jangan sampai kami demo di Putrajaya, kata pengusaha bas


Zaim Ibrahim

Persatuan Gabungan Pengusaha Bas Persiaran Zon Utara Ahmad Ruslan Abdul Latiff menunjukkan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah hari ini.– Gambar The Malaysian Insight, 11 November, 2020.

PENGUSAHA bas persiaran mengancam untuk berdemo di Putrajaya sekiranya kerajaan masih enggan meluaskan moratorium pinjaman kepada agensi pinjaman wang berlesen.

Persatuan Gabungan Pengusaha Bas Persiaran Zon Utara menegaskan peminjam daripada agensi itu juga memerlukan moratorium kerana semua pihak terjejas dengan Covid-19.

Presidennya Ahmad Ruslan Abdul Latiff berkata kerajaan perlu mendengar rayuan untuk membolehkan mereka menangguhkan bayaran itu, yang sudah lama disuarakan.

“Industri pelancongan penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi negara, kenapa ketika kami susah kerajaan tak mahu bantu?

“Kami akan tunggu hingga Isnin ini, jika kerajaan tidak buat apa-apa pengumuman tentang tuntutan kami, kami sedia turun ke Putrajaya untuk demostrasi.

“Itu usaha terakhir kami. Kalau kerajaan tidak mahu bantu juga, kami tinggal sahaja bas itu di Putrajaya,” tambahnya.

Mereka kesal kerana rayuan untuk membolehkan moratorium diperluas kepada syarikat kredit diabaikan dalam Belanjawan 2021 walau perkara itu disuarakan sejak Mac lalu.

“Belanjawan 2021 langsung tidak membantu kami malah akan membunuh masa depan 40 ahli persatuan.

“Kita bukan mahu minta percuma atau bantuan kewangan, tetapi hanya merayu penangguhan bayaran pinjaman turut dikenakan kepada syarikat kredit kerana lebih lambat kami bayar, kadar faedah akan meningkat,” katanya.

Selain itu persatuan itu juga menuntut agar kadar bayaran insurans selama setahun diturunkan lima atau empat bulan untuk membolehkan mereka membayar pada harga lebih rendah.

Ruslan ditemui media bersama beberapa ahlinya yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.

Laporan itu dibuat ekoran tidak berpuas hati dengan kerajaan apabila tidak memberi sebarang bantuan khas terhadap pengusaha-pengusaha bas.

Persatuan Gabungan Pengusaha Bas Persiaran Zon Utara mempunyai lebih kurang 40 ahli bagi negeri Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis.

Syarikat peminjam berlesen ini dikawal selia di bawah beberapa agensi kerajaan termasuk melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Pada 2019, syarikat itu dijenamakan semula sebagai Kredit Komuniti oleh KPKT.  Mereka beroperasi di bawah Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 (Akta 400).

Dua hari lalu, Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia (GAPP Bas Malaysia) membuat laporan polis berkenaan isu yang sama.

The Malaysian Insight difahamkan, sebuah persatuan bas persiaran di negeri Pahang juga akan membuat laporan polis yang sama. – 11 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen