POLIS menahan reman seorang penganggur yang dipercayai membunuh seorang penoreh getah warga emas dengan menumbuk dan menghentak kepalanya menggunakan batu bata di luar sebuah rumah di Kampung Lalang, Gerik petang semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata suspek lelaki berumur 30 tahun itu direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Selasa depan.
“Permohonan reman dilakukan di Mahkamah Majistret Gerik hari ini untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama di Ipoh hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari semalam, suspek bertindak menumbuk dan menghentak batu bata di kepala mangsa lalu terus melarikan diri dalam pergaduhan yang berpunca daripada kisah lama.
Akibat kejadian itu, mangsa mendapat kecederaan parah, pecah pada bahagian kepala akibat dihentak oleh objek keras dan tumpul serta disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan dari Klinik Kesihatan Kampung Plang.
Susulan itu, polis menahan suspek di rumahnya yang terletak kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian pada 5 petang dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.– Bernama, 11 November, 2020.
Komen