Geng Ah San tumpas


POLIS menahan seorang lelaki dipercayai ketua kumpulan ‘Geng Ah San’ yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan mencuri sarang burung di sekitar daerah ini, dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Junjong di Kulim, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Azhar Hashim berkata suspek berusia 42 tahun yang dalam perjalanan dari Seberang Perai Selatan ke Kulim itu ditahan selepas dia gagal mengemukakan dokumen kebenaran rentas sempadan kepada polis yang bertugas.

“Semakan mendapati suspek dikehendaki polis bersangkut dengan kes pecah rumah, lalu anggota polis bertugas menahan suspek, dan pemeriksaan di dalam kenderaan yang dipandu suspek membawa kepada penemuan dadah jenis syabu, parang dan pelbagai peralatan pecah rumah,” katanya dalam sidang media di Kulim, hari ini.

Beliau berkata suspek direman enam hari bermula hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 7(1), Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1957 dan Peraturan 3 di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Katanya terdahulu pada 30 April lepas, polis menahan seorang lelaki berumur 23 tahun yang dipercayai anggota kumpulan itu dan merampas sebuah kenderaan serta pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk jenayah pecah rumah, di Jalan Bukit Awi, di Kulim.

Azhar berkata polis percaya kumpulan berkenaan yang aktif sejak awal tahun ini terbabit dalam sekurang-kurangnya dalam 20 kes pecah rumah serta mencuri sarang burung selain samun jalanan di daerah ini, dan menurutnya polis sedang berusaha mengesan dua lagi anggota kumpulan itu masing-masing berusia 23 dan 27 tahun yang disyaki bersembunyi di sekitar Pulau Pinang.– Bernama, 11 November, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen