Pengusaha kantin sekolah rayu bantuan


Alfian Z.M. Tahir Zaim Ibrahim

Arahan penutupan sekolah selepas PKPB dikuatkuasakan menyebabkan pendapatan penguasaha kantin terjejas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2020.

PENGUSAHA kantin melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan Belanjawan 2021 yang dilihat tidak memberikan kemudahan kepada mereka yang menjalankan kemudahan tersebut di sekolah yang ditutup akibat Wabak Covid-19.

Semua sekolah diarah ditutup sehingga 20 Januari 2021 setelah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.

Perintah itu juga merangkumi sekolah di Perlis, Pahang, Kelantan dan Sarawak yang tidak diletakkan di bawah PKPB.

“Saya baru saja menandatangani kontrak pada Januari 2020, sayangnya wabak itu menyebabkan sekolah ditutup. Saya faham tentang itu.

“Keselamatan kanak-kanak jauh lebih penting dan saya akan dapat cari cara lain untuk dapatkan duit. Tetapi sudah tentu kami berharap kerajaan dapat membantu. RM500 dari Akaun 1 dan 2 kami tidak mencukupi,” kata Abdullah Khairi yang mengendalikan kantin di sebuah sekolah di Seksyen 18, Shah Alam.

Apabila ditanya kenapa jumlah itu tidak mencukupi, bapa kepada empat anak itu berkata dia mempunyai keluarga yang besar.

“Saya juga menjaga ibu bapa saya dan mereka sudah tua. Itu tanggungjawab saya. Saya juga ada anak-anak di rumah.

“Bil utiliti, pinjaman kereta, pinjaman perumahan dan lain-lain dalam sebulan perbelanjaan saya kira-kira RM3,000.

“Buat masa ini saya membawa Grab secara sambilan tetapi PKPB di Selangor menyebabkan tak ramai penumpang,” katanya.

Mohamad Rizal Jusoh, Pengerusi PIBG SK Taman Impian Bukit Mertajam berkata kesemua pengusaha kantin berada dalam keadaan tertekan.

“Ini sukar bagi mereka dan saya diberitahu mereka banyak menjual makanan menggunakan alternatif lain.

“Sebagai Pengerusi PIBG di sini saya telah berbincang dengan guru besar. Mereka akan lanjutkan perkhidmatan kantin sampi tahun depan. Cuma ia bergantung kepada kualiti kebersihan dan harga.

“Setakat ini kita pun akan buat surat permohonan kepada PPD untuk lanjutkan kontrak kantin sedia ada,” katanya. – 11 November, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen