Polis larang kenderaan masuk Perlis tanpa kebenaran


Polis Perlis memeriksa lebih 1,000 kenderaan melalui enam sekatan jalan raya dan 65 daripadanya diarah berpatah balik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2020.

SEBANYAK 65 buah kenderaan yang cuba merentasi negeri ini diarah berpatah balik kerana tidak mempunyai kebenaran rentas negeri setelah kerajaan mengisytiharkan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula semalam.

Ketua Polis Perlis Surina Saad berkata sebanyak 1,100 buah kenderaan diperiksa melalui enam sekatan jalan raya di Padang Besar, Arau dan Kangar, semalam dan satu lagi sekatan akan diadakan di Jalan Pauh/Changlun menghala keluar dari negeri ini, bermula esok.

“Antara alasan yang digunakan oleh pengguna jalan raya adalah hendak pergi ke tempat kerja kerana kebanyakan mereka daripada Kedah yang bekerja ke sini (Perlis), namun mereka perlu ada surat daripada majikan,” katanya kepada pemberita di Kangar, hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob Sabtu lepas mengumumkan PKPB  dilaksanakan di seluruh negeri di Semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan dari 9 November hingga 6 Disember bagi mengekang penularan kes Covid-19.

Surina berkata mereka dari kawasan zon merah yang hendak memasuki negeri Perlis pula akan diminta ke Pejabat Kesihatan Kangar bagi tindakan lanjut.
Beliau berkata sehingga kini masih belum ada  kompaun yang dikeluarkan oleh pihak polis dan kenderaan yang tidak mempunyai kebenaran rentas negeri hanya diarahkan patah balik.

Surina menasihati  orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan Perlis kekal sebagai zon hijau.

Sehingga hari ini Perlis kekal sebagai negeri hijau Covid-19 dengan jumlah kumulatif sebanyak 38 kes dilaporkan sehingga 12 Oktober lalu. – Bernama, 10 November, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen