Sungai Selangor tercemar lagi, 4 loji rawatan ditutup


Elill Easwaran

Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang yang dilihat di tebing sungai Selangor di Bestari Jaya, Selangor pada 5 September lalu. Pencemaran bau sekali lagi dikesan hari ini menyebabkan tiga LRA di Selangor ditutup. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2020.

EMPAT loji air di Selangor ditutup tengah hari ini selepas pihak Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengesan pencemaran bau di Sungai Selangor, menyebabkan sekali lagi gangguan air kepada penduduk di Lembah Klang – sekurang-kurangnya untuk kali yang ketiga sejak September.

Air Selangor berkata Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas pada 12.45 tengah hari tadi.

Henti tugas keempat-empat loji ini dijangka akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, mulai 6 petang ini, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Ia melibatkan 1.14 juta akaun pengguna di 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Senarai penuh kawasan terlibat boleh disemak di pautan ini.

Air Selangor dalam pada itu memohon maaf atas gangguan tidak berjadual ini.

“Air Selangor amat memahami situasi para pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ini dengan mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Air Selangor, setakat pukul 2.30 petang tadi, kiraan angka ambang bau (TON) pencemaran yang dikesan di muka sauk LRA Rantau Panjang pada tahap 8 TON sementara di LRA SSP1,2 dan 3 pula pada tahap 4 TON.

Air Selangor juga sedang berusaha mencairkan bahan pelarut dan pencemaran tersebut dengan melepaskan air dari Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi, tambah syarikat itu.

“Luas juga melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam KL Larut dengan kapasiti 192 juta liter sehari untuk tujuan yang sama,” kata Air Selangor.

Ini adalah gangguan bekalan air ketiga dalam beberapa bulan terakhir yang menjejaskan pengguna Lembah Klang.

Awal bulan lalu Loji Rawatan Air Sg Semenyih dan Bukit Tampoi ditutup kerana pencemaran sungai.

Pada bulan sama loji rawatan air Sg Selangor 1, 2 dan 3 serta loji Rantau Panjang juga ditutup setelah pencemaran dikesan di sungai.

September juga menyaksikan gangguan bekalan air selama enam hari yang melibatkan loji rawatan air yang sama kerana pencemaran sungai. – 10 November, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen