KESAN penularan wabak Covid-19 benar-benar memberi impak yang luar biasa serta menjejaskan perihal kehidupan norma baharu manusia untuk menjalani bahtera kehidupan seperti biasa.
Ia seakan-akan satu genjatan kepada kitaran ekonomi negara, apabila aktiviti permintaan dan penawaran terkesan dan tidak berjalan dengan lancar serta ketidaktentuan persekitaran luar yang turut membimbangkan.
Kita sedia maklum Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF mengunjurkan ekonomi global mencatatkan pertumbuhan negatif di paras 4.4% pada 2020.
Di samping itu juga, perdagangan dunia dijangka merosot pada kadar 10.4%.
Anak muda pastinya tidak terkecuali dalam gelombang pandemik Covid-19. Malah, sebahagian besar daripadanya menghadapi kesukaran hidup yang luar biasa kerana kehilangan pekerjaan serta mereka yang menganggur terutamanya graduan universiti.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohd Mursyid Arshad, golongan anak muda antara kelompok yang terkesan dengan hampir 40% tenaga buruh di Malaysia adalah belia berusia 15 hingga 30 tahun.
Berdasarkan pembentangan Belanjawan 2021 oleh menteri kewangan baru-baru ini, antara inisiatif yang dibentangkan ialah anak muda bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah akan menerima bantuan RM350 serta perlaksanaan Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) yang melibatkan penyediaan 500 ribu peluang pekerjaan.
Persoalannya ialah sejauh mana keberkesanan bantuan secara one-off sebanyak RM350 untuk menampung jurang serta peratusan kadar pengangguran yang kian meningkat.
Apakah jaminan kerajaan terhadap perlaksaan skim yang diperkenalkan kerana sehingga hari ini, tiada sebarang penjelasan bagaimana penyediaan peluang pekerjaan tersebut mahu dicapai.
Selain itu, dasar pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu diteliti semula dan diperluaskan supaya merangkumi semua golongan yang ketika ini berdepan tekanan kewangan, susulan pandemik Covid-19 terutamanya golongan anak muda yang terkesan serta moratorium pinjaman juga tidak dilanjutkan oleh pihak kerajaan pada kali ini.
Anak muda mempunyai hak kebebasan untuk menentukan pelan hidup mereka dalam keadaan yang cukup getir sebegini, sama ada mereka mahu terlibat di dalam dunia keusahawanan ataupun menceburi bidang-bidang yang lain. Berikan mereka ruang dan peluang yang sewajarnya.
Kadar purata pengangguran sejak 10 tahun lalu merekodkan sebanyak 3.2% ataupun sekitar 500 ribu penganggur.
Namun begitu, bersangkutan pandemik Covid-19, ia meningkat kepada 5.3% atau 820 ribu penganggur pada Mei 2020 iaitu merupakan kadar tertinggi sejak 1989.
Kerajaan perlu menyediakan peluang pekerjaan berorientasikan sistem digital yang sebenarnya membolehkan golongan belia dan mereka yang hilang pekerjaan tidak lagi bergantung kepada pekerjaan “makan gaji” semata-mata.
Belanjawan 2021 sepatutnya menekankan soal aspek pembangunan kemahiran baharu dan memperkasakan kemahiran belia sedia ada.
Ia perlu melibatkan belia dengan kemahiran lain supaya mereka mampu melaksanakan pelbagai tugasan serta cabaran dalam apa jua bentuk sekalipun.
Ini selari dengan keperluan semasa ketika berdepan dengan situasi pandemik Covid-19 yang kian mencabar. – 10 November, 2020.
* Dzulhilmi Zainol, naib ketua Angkatan Muda Keadilan Selangor.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen