Covid-19 jejas pendapatan, Deepavali disambut sederhana


Ravin Palanisamy Zaim Ibrahim

Penganut Hindu membuat persiapan serba ringkas untuk meraikan Deepavali pada Sabtu ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 11 November, 2020.

PESTA cahaya tahun ini disambut sangat sederhana, tanpa aktiviti beli-belah berlebihan manakala perhimpunan agama diadakan kecil-kecilan, susulan pelaksanaan sekatan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19.

Fokus Deepavali tahun ini bukan kepada baju baharu, barang kemas, langsir, permaidani dan kuih raya, tetapi lebih kepada mengadakan sambutan sederhana dengan keluarga.

M Jeya yang menetap di Petaling Jaya, berkata beliau tidak mengadakan majlis makan tengah hari seperti tahun-tahun sebelumnya pada Deepavali, dan akan hanya ke rumah abangnya untuk berkumpul dan menikmati sarapan selepas upacara keagamaan pada sebelah pagi.

“Gaji saya hanya cukup untuk bayaran rumah dan pinjaman kereta, serta pendidikan anak dan makanan.

“Jadi, tidak ada beli-belah untuk kami tahun ini kerana kewangan sangat ketat,” katanya yang bekerja sebagai kerani.

Pada masa ini, beliau yang menampung keluarga selepas suaminya diarahkan bercuti tanpa gaji dari Ogos hingga akhir tahun.

Malaysia pada masa ini di bawah penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) hingga 31 Disember, tetapi semua negeri di semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan dikenakan PKP Bersyarat (PKPB).

PKPB pada mulanya dilaksanakan di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dari 14 Oktober.

Bagaimanapun, pada 7 November, perintah itu dilanjutkan hampir ke semua negeri kecuali tiga negeri di semenanjung dan Sarawak, selama empat minggu hingga 6 Disember.

Penguatkuasaan itu sebagai langkah pencegahan penularan gelombang ketiga jangkitan Covid-19, dengan sejumlah besar di Sabah.

Deepavali tahun ini juga disambut sederhana bagi K Siva Kumar, 45, yang bekerja di sebuah syarikat peralatan kesihatan.

Siva, dari Teluk Intan, Perak, berkata biasanya beliau akan pulang ke kampung untuk meraikan sambutan itu, tetapi tidak dapat berbuat demikian tahun ini.

“Saya dan isteri berasal dari Teluk Intan. Biasanya Deepavali kami pulang ke kampung tetapi tahun ini, kami sambut di rumah saja di Puchong.

“Kami juga tidak mahu membahayakan orang tua kami di kampung. Jadi, kami sambut Deepavali secara ringkas saja di sini,” katanya.

Siva berkata beliau biasanya membelanjakan kira-kira RM1,500 untuk sambutan Deepavali tetapi tahun ini terpaksa memotong bajet kepada RM500 saja.

“Hanya belikan baju sepasang untuk setiap anak dan itu sudah cukuplah untuk tahun ini.” – 11 November, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen