Harapan pulihkan perniagaan sempena Deepavali musnah


Zaim Ibrahim Ravin Palanisamy

Peniaga pakaian tradisional di Brickfields, Kuala Lumpur terpaksa berdepan kerugian berterusan apabila Deepavali disambut hambar tahun ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 11 November, 2020.

PENIAGA di kawasan beli-belah terkenal untuk komuniti India seperti di Brickfields, Kuala Lumpur dan Little India di George Town, Pulau Pinang, sebelum ini berharap kedatangan Deepavali akan merancakkan semula aliran tunai mereka selepas lapan bulan perniagaan terencat akibat Covid-19.

Tetapi harapan itu musnah apabila hampir seluruh negara kini dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), menyebabkan ramai peniaga kini tertanya-tanya bagaimana mereka hendak bertahan dalam beberapa bulan akan datang ini, kerana biasanya jualan pada Deepavali mampu memberi pendapatan untuk tahun berkenaan.

Pemilik butik Jeel Brickfields P Ramesh berkata perniagaannya amat teruk kerana tiada pelanggan datang selepas PKPB dikuatkuasakan di Lembah Klang.

“Kami masih dalam proses pemulihan akibat kerugian yang berlaku sepanjang PKP dan menjangkakan untuk dapat menutup kerugian kali ini, tetapi ia gagal lagi apabila PKPB dilaksanakan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ramesh, yang juga ada sebuah lagi kedai di Rawang, berkata jualannya 50% lebih rendah berbanding ketika pra pandemik, dan pendapatannya hanya cukup untuk menampung kos operasi dan gaji pekerja untuk Oktober dan November.

“Saya tidak dapat capai sasaran untuk Deepavali, jadi sekarang saya akan berdepan waktu suram untuk tempoh enam bulan akan datang atau lebih. Jualan pada Deepavali yang biasanya paling besar dan tanpanya, enam bulan akan datang akan sangat susah,” katanya.

PKPB pada mulanya dikenakan di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dari 14 Oktober, susulan Malaysian mengalami gelombang ketiga jangkitan Covid-19, dengan sejumlah kes besar di Sabah.

Bagaimanapun, pada 7 November, perintah itu diluaskan ke hampir semua negeri kecuali Perlis, Kelantan, Pahang di semenanjung dan Sarawak, bagi tempoh empat minggu hingga 6 Disember.

N Selvan, 52, tukang jahit di Githika di Brickfields, berkata tempahan sangat berkurangan.

Pada tahun sebelum ini, beliau akan mendapat tempahan lebih 500 blaus sari dan sut Punjabi menjelang Deepavali.

Tahun ini, tempahan diterima kurang daripada 100, katanya.

Selain itu, katanya banyak tempahan yang sudah siap tidak diambil oleh pelanggan kerana tidak dapat datang ke kedai akibat PKPB di mana sekatan perjalanan antara daerah dan negeri dikenakan. Ada juga tempahan tidak diambil kerana pelanggan terpaksa batalkan perkahwinan.

“Bila tempahan ini tidak diambil, kita tidak dapat bayaran penuh. Ini sangat menjejaskan perniagaan saya,” katanya. – 11 November, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen