Saya Melayu dahulu, kata Wan Ahmad Fayhsal


Diyana Ibrahim Kamles Kumar

Saya Melayu dahulu, baru Malaysia, kata Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 10 November, 2020.

KETUA Pemuda Bersatu yang baharu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad melihatnya dirinya sebagai Melayu dahulu dan selepas itu rakyat Malaysia, senada dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sedekad yang lalu, semasa diajukan soalan sama menyentuh isu identiti dan perpaduan.

Dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight, Wan Ahmad Fayhsal berkata menjadi Melayu dan warga Malaysia ada dua perkara yang tidak boleh dipisahkan.

Melayu adalah sebahagian daripada warisan jati diri, katanya, manakala kerakyatan Malaysia adalah status yang mengikat dari segi perundangan. 

“Soalan ini pernah ditanya kepada Muhyiddin. Jawapan saya, saya adalah seorang Melayu dahulu kerana Melayu datang daripada satu warisan yang ditakrifkan secara fizikal, biologi dan budaya, sedangkan warganegara (Malaysia) itu datangnya daripada perundangan,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal, 33, juga berkata pertanyaan “Melayu atau Malaysia dahulu” tidak wajar kerana ia tidak ubah seperti bertanyakan yang masa satu dahulu, ayam atau telur.

“Anda tidak boleh memilih satu antara dua kerana ia berjalan seiring,” katanya, yang menang pemilihan Angkatan Bersatu Anak Muda atau Armada pada Ogos lalu.

“Saya bangga menjadi rakyat Malaysia dan saya juga bangga sebagai orang Melayu kerana itulah yang mentakrifkan diri saya, budaya saya.

“Saya bangga sebagai orang Melayu yang mempertahankan kedaulatan negara Malaysia.

“Bagi saya, tidak ada satu dilema sebenarnya (menjadi Melayu atau rakyat Malaysia). Saya pertahankan bahawasanya citra saya sebagai Melayu adalah identiti utama saya berpolitik,” tambahnya, yang juga timbalan menteri belia dan sukan.

Sedekad yang lalu, Muhyiddin yang ketika itu timbalan perdana menteri ditarik ke dalam kontroversi apabila berkata beliau Melayu terlebih dahulu sebelum rakyat Malaysia.

Muhyiddin menyahut cabaran pemimpin DAP Lim Kit Siang yang meminta beliau menyatakan sama dirinya lebih sebagai Melayu atau rakyat Malaysia, dalam konteks gagasan 1Malaysia yang dilancarkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak pada masa itu.

Muhyiddin, yang dilantik perdana menteri pada Mac lalu selepas Perikatan Nasional membentuk kerajaan baharu di Putrajaya, menamakan Wan Ahmad Fayhsal sebagai senator dan kemudian timbalan menteri.

Pemuda Bersatu akan mengangkat citra baharu politik Melayu, yang kemudiannya nanti akan melahirkan generasi baharu pemimpin Melayu, kata Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 10 November, 2020.

Armada angkat politik Melayu baharu

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, sayap Pemuda Bersatu di bawah kepimpinannya akan mengangkat citra baharu politik Melayu, yang kemudiannya nanti akan melahirkan generasi baharu pemimpin Melayu.

“Bersatu ditubuhkan atas perjuangan ini… untuk menyelamatkan naratif nasionalisme Melayu daripada terus dirosakkan skandal yang merugikan negara. Armada (Pemuda Bersatu) lahir dari semangat yang sama.

“Kita mencabar politik yang berasaskan naungan… politik feudal, yang merosakkan orang Melayu di akar umbi.

“Kita mahu beri lebih peluang kepada anak muda yang naik tanpa dicabuli politik wang. Ini satu ‘reset’ yang kita ingin tawar kepada masyarakat Melayu,” katanya.

Perikatan kerajaan Malaysia bertunjang Melayu

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata kerajaan Pakatan Harapan jatuh selepas 22 bulan mentadbir kerana hilang sokongan Melayu susulan agenda reformasinya yang mencabar status quo.

“Banyak sekali agenda reformasi yang ingin diketengahkan PH cuba mencabar status quo, kontrak sosial negara ini. Saya rasa ia antara kelemahan PH dan itu menyebabkan orang Melayu umumnya tolak PH,” katanya.

Beliau menambah kerajaan PN kini berusaha memperbaiki kerosakan itu dan membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka mengambil berat nasib orang Melayu.

“Jadi kita betulkan persespi ini tanpa abaikan hak dan keperluan terhadap orang bukan Melayu dan Bumiputera lain,” katanya.

Kerajaan Perikatan Nasional tunjangnya Melayu, kata Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2020.

Beliau menjelaskan kerajaan PN yang menggantikan PH bukan kerajaan Melayu tetapi sebuah kerajaan Malaysia dengan tunjang kepimpinan Melayu.

“Kita mahu buktikan kepada bukan Melayu bahawa politik Melayu itu adil dan saksama. 

“Ini yang kita mahu bezakan daripada PH,” katanya.

Kerajaan PH runtuh selepas bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad letak jawatan setelah Muhyiddin menarik Bersatu keluar daripada gabungan itu. Beberapa ahli Parlimen PH dari PKR juga pada masa sama dipecat dari parti dan keluar parti.

Muhyiddin kemudian menubuhkan gabungan baharu atas nama Perikatan Nasional bersama Umno dan Barisan Nasional serta PAS, dan mendapat dukungan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti kecil di Sabah. – 10 November, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen