POLIS mengenal pasti empat suspek dalam kes bunuh seorang lelaki di stesen minyak di Taman Pelangi, Johor Baru, kata Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata polis kini sedang menjejaki suspek yang dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap.
“Apa yang berlaku ini perselisihan antara dua kumpulan kongsi gelap.
“Polis sudah kenal pasti empat suspek dalam kenderaan yang terlibat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, hari ini.
Mangsa berumur 30 tahun mati ditikam dan kemudian dilanggar dua kali dengan kereta jenis BMW yang dinaiki empat lelaki berkenaan di sebuah stesen petrol di Jalan Sri Pelangi pada Ahad.
Ketika kejadian kira-kira 7.30 malam itu, mangsa bersama seorang wanita warga asing dalam lingkungan umur 20-an, yang dipercayai isterinya, sedang mengepam tayar kereta Volkswagen yang dipandunya.
Zahid berkata polis sedang menyiasat dua kumpulan kongsi gelap yang terlibat.
“Kita akan ambil tindakan terhadap mereka. Dipercayai mangsa yang terbunuh merupakan ketua kongsi gelap.”
Zahid juga memberi amaran polis tidak teragak-agak mengambil tindakan sekiranya ada sebarang aksi tindak balas daripada mana-mana kumpulan terlibat.
Ketua Polis Johor Mohd Khalil Kader Mohd berkata empat lelaki tersebut pada mulanya mendekati pasangan itu dan cuba mengheret mangsa masuk ke kereta mereka.
Mangsa bagaimanapun melawan dan berlaku pergelutan dan mangsa dipercayai ditikam dengan senjata tajam.
Wanita itu dikatakan melarikan diri meminta pertolongan dan bantuan orang ramai.
Khalil berkata mangsa berjaya melepaskan diri tetapi empat suspek itu kemudian kembali ke kereta mereka, membuat satu pusingan sebelum melanggar mangsa sekali dan kemudian mengundurkan kereta, melanggarnya untuk kali kedua sebelum meninggalkan tempat kejadian.
Menurut polis, mangsa terbunuh di tempat kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Jenayah atas kes bunuh. – 19 Disember, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan