Putrajaya sedia RM8.6 juta untuk agih jawatan di negeri Pakatan


Mohd Farhan Darwis

Belanjawan 2021 memperuntukkan RM8.6 juta untuk ahli majlis dari Perikatan Nasional di negeri yang tidak dikawal parti tersebut melalui satu jawatankuasa baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2020.

BELANJAWAN 2021 memperuntukkan RM8.6 juta untuk ahli majlis dari Perikatan Nasional di negeri yang tidak dikawal parti tersebut melalui satu jawatankuasa baharu.

Penubuhan badan itu, Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT), bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dinyatakan dalam dokumen belanjawan yang dibentang Jumaat lalu.

Ia diakui Pengerusi Bersatu Selangor Abdul Rashid Asari yang melancarkan PeKT di negeri itu minggu lalu yang menjelaskan ia bertujuan mengagih jawatan kepada pemimpin akar umbi PN.

Ia meliputi wakil parti komponen PN, yang terdiri daripada Bersatu, Umno, dan PAS, serta bekas anggota PKR yang kini menyertai Bersatu, katanya.

Melalui usaha itu, anggota PeKT dibekalkan elaun berjumlah RM2,000 sebulan dengan peruntukan RM10,000 setahun untuk berkhidmat di kawasan yang diwakili mereka.

“Mereka akan ditempatkan di majlis daerah, majlis perbandaran, dan bandaraya, mengikut jumlah yang terlibat di semua kawasan pihak berkuasa tempatan.

“Walaupun jawatan mereka setaraf dengan ahli majlis tetapi mereka tak boleh duduk dalam PBT atau majlis daerah masing-masing,” katanya minggu lalu.

Di Selangor sahaja katanya seramai 288 pegawai dilantik, berdasarkan nisbah pembahagian mengikut bilangan kerusi Parlimen yang diwakili parti masing-masing

“Mereka diberi elaun dan peruntukan, dengan itu mereka dapat jalankan tugas dengan berdedikasi dan berhemah walaupun berada di negeri pembangkang.

“Penggerak komuniti ada tanggungjawab berat untuk tentukan kawasan mereka dapat khidmat mereka,” katanya.

Ia merupakan penjawatan baharu dalam KPKT yang kini diterajui Zuraida Kamaruddin, bekas naib presiden PKR yang menyertai Bersatu bersama Mohamed Azmin Ali pada Ogos lalu.

Selangor kini dikuasai Pakatan Harapan, yang juga masih membentuk kerajaan di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Kerajaan Perak, Johor, Melaka, Kedah dan beralih ke atas PN selepas gabungan parti itu mengambil alih kerajaan pada Februari.

Gabungan itu juga mengambil alih Sabah dalam pilihan raya negeri bulan lalu. – 8 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen