2 maut dalam nahas helikopter 


Alfian Z.M. Tahir

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat memeriksa salah satu helikopter yang terbabit dalam nahas di Taman Melawati, Ampang hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 November, 2020.

DUA individu maut selepas dua helikopter terhempas berhampiran sebuah sekolah di Taman Melawati, Ampang, di Kuala Lumpur kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Pandan dua individu lagi turut terbabit dalam nahas berkenaan. Bagaimanapun keadaan mereka masih belum diketahui.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua helikoter terbabit bertembung di udara sebelum terhempas berhampiran sekolah Tamil di Taman Melawati.

“Terdapat tiga lelaki dan seorang wanita dalam helikopter terbabit. Kami menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira pukul 11.45 pagi,” kata seorang pegawai bomba.

Video insiden berkenaan tular di media sosial.

Gambar orang awam membantu mangsa turut tersebar di Twitter pagi ini.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Ampang Mohamad Farouk Esha mengesahkan bekas ketua pegawai eksekutif kumpulan Malaysia Airlines Berhad Ahmad Jauhari Yahya terselamat dalam nahas terbabit.

Menurutnya, Ahmad, 66 dan Tan Chai Eian, 51, berada dalam helikopter yang mendarat berhampiran sekolah Tamil.

Beliau berkata dua lelaki yang terbunuh adalah Mohamed Sabri Baharom, 56 dan Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 44.

“Kami percaya mereka dari Subang menuju ke Genting Sempah. Kami masih menyiasat punca kematian manakala siasatan mengenai kemalangan dan nahas akan dijalankan oleh Jabatan Penerbangan Awam,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian. – 8 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen