Wak Rojan, peniaga kecil tanpa rasa kalah


Zainal Rashid Ahmad

DILAHIRKAN di Batu Pahat pada 1955 sebagai anak yang sangat berbangga dengan darah orang Jawa.

“Saya juga suka dipanggil wak atau kang kerana itu cara Jawa,” kata Wak Rojan.

Bagi penduduk Gombak, Wak Rojan (Abdul Rojan) memang popular. Motosikal beroda tiganya terkenal dengan muatan pau berisi enam jenis inti.

Pau Wak Rojan sentiasa menjadi bualan ramai. Selain keenakan rasa pau rasa, sikap ramah dan sifat tekun berjaja di jalanan dianggap teladan tanda kegigihan berjuang mencari rezeki.

Wak Rojan boleh ditemui di sekitar Pusat Kesihatan Gombak, Bangunan Ong Ta Kim, depan Maybank Gombak, Stesen MRT Taman Melati dan berdekatan Jalan Madrasah.

“Saya ubah-ubah lokasi kerana meniaga pau sama macam nelayan. Ikan tak bermain di tempat yang sama setiap hari,” katanya.

Sebagai peniaga yang tiga dekad mencari rezeki di tepi jalan, Wak Rojan faham benar “teknik mencari lubuk” jualan.

“Kalau setengah jam menanti dan tiada pelanggan, kita bergerak ke lokasi lain tetapi hadkan antara empat ke lima lokasi sahaja sebagai tempat tetap,” katanya.

Sejak tiga dekad lalu, Wak Rojan meniaga pelbagai jenis barangan dan makanan di tepi jalan.

Itu cara hidupnya selama merantau ke Kuala Lumpur setelah meninggalkan pekerjaan kilang pada dekad 80-an.

Pada tahun 90-an, Wak Rojan memberanikan diri menjual minyak wangi di sekitar kaki lima Jalan Masjid India.

Apabila persekitaran ekonomi negara mulai meningkat, pelanggan mula beralih arah dan membeli minyak wangi di dalam komplek terkenal.

“Saya segera tinggalkan perniagaan minyak wangi dan mula menjual beg kulit tiruan dan kaca mata hitam dengan margin untung RM5 bagi setiap barangan,” katanya.

Namun, cabaran perniagaan sentiasa berubah mengikut arus waktu. Sebagai peniaga kaki lima, Wak Rojan tidak pernah mengalah.

“Apabila Uptown dan Downtown diperkenalkan, perniagaan saya merosot kerana orang mula tertumpu di bazar malam kerana harga barangan di situ lebih murah,” katanya.

Apabila bazar malam muncul, Wak Rojan mengubah lagi peniagaannya dengan menjual air dan buah-buahan potong.

Namun, sejak lima tahun lalu, Wak Rojan mula menjual pau.

Hidup satu perjuangan

Pada usia 65 tahun sekarang, Wak Rojan kekal aktif dan sihat kerana masih mengamalkan senaman dengan berlari maraton selama 45 minit sekali seminggu.

“Saya aktif maraton sejak muda dan ketika berusia 45 tahun pun masih menyertai pertandingan maraton termasuk merentas Jambatan Pulau Pinang dengan tajaan 100 Plus.”

Selain maraton, pada usia veteran Wak Rojan mencuba acara triatlon. Namun, gagal mencapai piawaian renangan merentas laut.

“Dua kali mencuba acara berenang tetapi faktor umur menyebabkan saya gagal mencapai had waktu,” katanya sambil tersenyum.

Anak muda jangan pilih kerja

Ketika ekonomi meleset dan pandemik Covid-19 melanda, Pak Rojan menasihatkan anak muda untuk tidak terlalu memilih kerja.

Samada berkelulusan tinggi atau lepasan SPM, kata Wak Rojan, keadaan ekonomi sekarang menyebabkan pilihan yang ada sangat terbatas.

“Kalau terlalu memilih maknanya kerja tidak akan datang. Cari pengalaman bekerja ketika ekonomi sukar kerana ia memberikan kita lebih pengalaman,” katanya.

Orang yang suka beralasan mengenai pekerjaan, kata Wak Rojan, sentiasa cuba menyalahkan orang lain.

“Salahkan kerajaan atau menyalahkan pandemik hanya membuang masa. Betulkan diri sendiri dan ketika muda anda mesti berani memulakan kerjaya yang sukar,” kata Wak Rojan.

Mengenai usianya yang makin meningkat, Wak Rojan menyifatkan itu bukan alasan untuk berehat.

“Saya cuma hadkan waktu bekerja tetapi masih menjual pau setiap petang,” katanya.

Dengan sasaran jualan 150 biji pau sehari, Wak Rojan berupaya mencapai untung bersih sekitar RM150.

Walaupun ada ketikanya, angka jualan  boleh saja naik dan turun tetapi dia tetap menjaja pau antara empat ke enam jam sehari. – 8 November, 2020.  

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen