AS veto draf resolusi PBB dalam isu Baitulmuqaddis


Duta AS ke PBB Nikki Haley veto draf resolusi membatalkan keputusan Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel walaupun 14 lagi Ahli Majlis Keselamatan menyokong. – Gambar AFP, 19 Disember, 2017.

AMERIKA Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto untuk menolak draf resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi membatalkan keputusan Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Duta AS ke PBB Nikki Haley veto draf resolusi itu walaupun 14 lagi Ahli Majlis Keselamatan menyokong.

Undi veto itu menjadikan rancangan Trump memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, sekali gus menafikan hak Palestin, tidak mendapat sokongan dunia.

Tidak lama selepas itu, White House mengumumkan Naib Presiden AS Mike Pence menangguhkan perjalanannya ke Timur Tengah yang dijadualkan minggu ini.

Keputusan Trump pada 6 Disember lalu untuk mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota Israel memecahkan persepakatan antarabangsa, mencetuskan bantahan di seluruh dunia Islam dan menyebabkan kutukan kuat terhadapnya.

Sekutu utama AS termasuk Britain, Perancis, Itali, Jepun dan Ukraine antara 14 negara dalam majlis 15 anggota itu yang mengundi berpihak kepada langkah dibawa oleh Mesir.

Draf resolusi itu mengukuhkan lagi bahawa Jerusalem ialah satu isu “yang perlu diselesaikan menerusi rundingan” dan sebarang keputusan tentang status Jerusalem “tidak mempunyai kesan undang-undang, dan perlu dibatalkan”.

“AS tidak perlu diberitahu oleh mana-mana negara pun di mana kami boleh buka kedutaan kami,” kata Haley kepada majlis PBB selepas veto.

“Apa yang kita saksikan hari ini di Majlis Keselamatan adalah satu penghinaan. Ia tidak akan dilupakan,” katanya, menggambarkan langkah itu sebagai “satu lagi contoh tindakan PBB semakin memburukkan lagi konflik Israel-Palestin”.

Bagi memenangi 14 undi, teks itu tidak dimasukkan sebarang kutukan dan langkah Trump berkenaan tidak disebut secara khusus. Sebaliknya, ia menyatakan “amat kesal terhadap keputusan baru-baru ini berkenaan status Jerusalem”.

Resolusi yang dibentangkan kepada majlis itu memerlukan sembilan undi, tetapi AS – bersama Britain, China, Perancis dan Rusia – mempunyai kuasa untuk veto mana-mana langkah.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu serta-merta mengucapkan terima kasih kepada Haley, menerusi Twitter, beliau berkata: “Kebenaran menewaskan penipuan. Terima kasih, Presiden Trump. Terima kasih, Nikki Haley.”

Rakyat Palestin mengecam veto itu sebagai “tidak boleh diterima” dan berikrar untuk menjadikan Perhimpunan Tahunan PBB untuk mengguna pakai resolusi yang disekat di majlis itu. Tiada negara mempunyai kuasa veto dalam perhimpunan 193 negara itu.

“Amat dikesali satu negara membuat keputusan untuk membantah seluruh dunia dan menentang seluruh dunia berkaitan isu yang sudah terlalu lama berlaku ini,” kata Duta Palestin Riyad Mansour kepada majlis berkenaan.

“AS memilih untuk membelakangkan undang-undang antarabangsa dan mengabaikan persepakatan antarabangsa.”

Israel merampas kawalan bahagian timur bandar itu pada 1967 ketika perang Timur Tengah dan melihat Jerusalem sebagai ibu kotanya. Rakyat Palestin melihat timur ibu kota itu sebagai negara masa depan mereka.

Draf resolusi itu memasukkan desakan kepada semua negara untuk mengelak daripada membuka kedutaan di Jerusalem, mencerminkan kebimbangan yang kerajaan negara lain akan mengikut jejak langkah AS. – AFP, 19 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen