.jpg)
PEMBENTANGAN Belanjawan 2021 Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sama sekali tidak seperti yang diharapkan oleh rakyat jelata, malah lebih malang sekali apabila peruntukan ‘Geran Khas’ kepada negeri Sabah juga dipotong.
Sepatutnya jumlah peruntukan tersebut ditambah kerana rakyat Sabah ketika ini sedang berdepan ancaman wabak virus Covid-19 yang semakin membimbangkan dan memberikan impak yang cukup besar kepada ekonomi rakyat Sabah.
Sewaktu Pilihan Raya Negeri Sabah, antara kempen utama para menteri Kerajaan Persekutuan yang menyebut kononnya untuk memastikan kesejahteraan dan pembangunan di Sabah terjamin.
Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan hendaklah sealiran dari segi politik.
Hari ini Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan telah sealiran namun apa yang berlaku, Kerajaan PN tidak meneruskan komitmen Kerajaan Persekutuan sewaktu zaman Pakatan Harapan (PH) dengan pemberian geran khas yang sepatutnya meningkat daripada RM53.4 juta selama 5 tahun dan jumlahnya di jadualkan meningkat kepada RM106.8 juta selepas 5 tahun.
Tetapi sebaliknya ia telah dikurangkan kepada jumlah asal sebanyak RM26.7 juta sahaja.
Pembentangan Belanjawan kali ini juga menyaksikan peruntukan pembangunan untuk negeri Sabah menyusut apabila hanya RM5.1 bilion akan disalurkan berbanding RM5.2 bilion yang disalurkan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.
Saya melihat langkah kerajaan PN ini sebagai satu lagi tindakan yang tidak adil serta berat sebelah kepada rakyat Sabah dan seolah-olah menganaktirikan rakyat Sabah walaupun pelbagai janji semasa Pilihan Raya Negeri Sabah lalu ditabur kononnya Kerajaan Persekutuan tidak akan mengabaikan kebajikan rakyat Sabah.
Rakyat Sabah pastinya juga kecewa dan kesal dengan Ketua Menteri Sabah yang seolah-olah bersikap lepas tangan dan hanya dicucuk hidung oleh Kerajaan Persekutuan sehingga tidak berani mempertahankan hak rakyat Sabah yang sepatutnya diberikan kepada mereka.
Lebih mengecewakan lagi dan tidak masuk akal sama sekali, pada ketika peruntukan untuk negeri Sabah dikurangkan dan dipotong, Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula memperuntukan sejumlah RM81 juta lebih bagi menghidupkan semula unit propaganda milik kerajaan, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).
Unit ityu sememangnya diketahui umum satu pembaziran wang rakyat kerana dilihat sekadar menjadi alat untuk kerajaan dalam menyampaikan dakyah dan propaganda politik semata-mata.
Saya mengecam dan membantah sama sekali langkah Kerajaan Persekutuan memotong peruntukan geran khas dan pembangunan untuk negeri Sabah ini.
Persoalannya yang saya ingin bangkitkan, adakah peruntukan kepada rakyat Sabah ini dipotong bertujuan untuk mencari dana bagi menghidupkan semula unit propaganda JASA ini yang tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat jelata amnya?
Cuba kita bayangkan dengan RM81 juta lebih tersebut berapa inisiatif yang boleh dilaksanakan untuk rakyat di setiap kawasan Parlimen seluruh negara yang terjejas dengan pandemik Covid-19.
Berapa banyak perniagaan kecil yang boleh dibantu sekiranya peruntukan tersebut digunakan untuk tujuan membela kebajikan rakyat?
Malangnya, Kerajaan PN tidak memikirkan mengenai kebajikan rakyat sebaliknya apa yang difikirkan adalah cara untuk mereka terus berkuasa dan ini sama sekali tidak boleh diterima!
Saya menggesa Kerajaan Persekutuan supaya lebih peka dan prihatin terhadap kesengsaraan serta kesusahan dihadapi oleh rakyat ketika ini.
Mereka kini hilang mata pencarian untuk mencari sesuap rezeki, ramai yang kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan tetapi Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Muhyiddin nampaknya lebih sibuk untuk bermain politik dan ini terbukti dengan langkah untuk mewujudkan semula JASA.
Saya juga melihat langkah oleh Kerajaan Persekutuan ini sama sekali tidak mencerminkan langkah untuk perdamaian politik atau ‘gencatan politik’ seperti yang diwar-warkan, sebaliknya Kerajaan masih lagi cuba bermain politik dan tidak jujur untuk mencari titik persamaan dengan blok parti pembangkang.
Akhir sekali, saya menggesa supaya wang sebanyak RM81 juta lebih tersebut disalurkan untuk tujuan menjaga kebajikan rakyat khususnya rakyat negeri Sabah yang teruk terjejas dan bukannya dibazirkan untuk menjaga kuasa pihak atasan berkepentingan sehingga rakyat di bawah terpaksa hidup melarat dan terpaksa mengikat perut demi kesenangan pihak tertentu.
Saya berharap semua pemimpin yang datang daripada Sabah, walaupun kita mempunyai ideologi politik yang berbeza tetapi dalam hal ini, marilah kita bersama menuntut agar hak dan peruntukan yang sewajarnya diberi kepada negeri Sabah perlu dikembalikan , bukannya dikurangkan.
Mana lebih penting?
Nyawa dan kesihatan rakyat atau propoganda untuk menaikkan populariti pemimpin PN? *
*Mohd Azis Jamman merupakan Ahli Parlimen Sepangggar.*
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen