Dana RM85.5 juta untuk Jasa jadi isu buat Afif Bahardin


Zaim Ibrahim

Afif Bahardin menjadi sasaran apabila kenyataan yang menghentam Jasa pada 2016 tular semula selepas Belanjawan 2021 menunjukkan jabatan itu akan dihidupkan semula dengan dana RM85.5 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2020.

USAHA kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin menghidupkan semula unit propaganda Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dengan dana sehingga RM85.5 juta kini menjadi isu kepada anak buahnya.

Individu seperti Afif Bahardin yang mengikut Menteri Kanan Azmin Ali menyertai parti Muhyiddin, Bersatu kini menjadi sasaran kritikan atas pendirian sebelum ini ke atas Jasa.

Afif menjadi sasaran apabila kenyataan yang menghentam Jasa pada 2016 tular semula selepas Belanjawan 2021 menunjukkan jabatan itu akan dihidupkan semula dengan dana RM85.5 juta.

Malah, timbul dakwaan bahawa beliau akan dilantik mengetuai jabatan tersebut sebagai pengarah, melalui poster grafik yang ditularkan di media sosial sejak semalam.

Pelantikan tersebut bagaimanapun dinafikan Adun Seberang Jaya itu, yang kini bergerak melalui NGO Pemuda Negara selepas dipecat dari PKR.

“Palsu,” katanya ringkas kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi.

Poster ucapan tahniah atas pelantikan tersebut, yang didakwa dikeluarkan Bersatu turut dinafikan parti berkenaan di Facebook hari ini.

Afif juga enggan mengulas lanjut dan masih berpegang pada pendiriannya seperti pada tahun 2017, yang mahu Jasa dibubarkan.

Siri kenyataan tersebut yang disiar di Twitter antara lain mengutuk kerajaan Barisan Nasional (BN) waktu itu kerana membazirkan wang rakyat melalui program propaganda.

Beliau juga menganggap jabatan itu hanya dipergunakan oleh Umno untuk mengekalkan kuasa.

Afif juga tidak mahu wang tersebut digunakan untuk membayar gaji pemimpin Umno dalam Jasa seperti pengarahnya Tun Faisal Abdul Aziz dan seorang “pemikir” jabatan itu, Lokman Adam.

“Sebenarnya untuk jimatkan wang negara, jabatan seperti JASA yang jadi macai kepada Umno elok dimansuhkan dan biar dana itu diguna untuk rakyat.”

“Perlukah gaji Tun Faisal dan Lokman Adam dibayar dengan duit rakyat? Bajet Jasa elok diguna naiktaraf hospital dan gajikan doktor

“Saya berpandangan wang rakyat tidak harus dibelanja untuk perkara tidak perlu, tidak berfaedah dan berlebihan iaitu Jasa,” katanya lagi, dalam bahasa Inggeris.

Afif juga dalam beberapa balasan kepada komen terhadapnya di Twitter menekankan ada banyak perkara lain untuk menggerakkan semula ekonomi yang juga disentuh dalam Belanjawan.

Pelantikan untuk jawatan dalam Jasa yang dihidupkan semula itu juga menjadi perhatian ekoran sikap ditunjukkan pemimpin Umno mengenai agihan jawatan untuk pemimpin parti itu.

Isu tuntutan jawatan itu merupakan antara perkara yang disebut-sebut sewaktu Umno mengancam untuk keluar dari gabungan parti kerajaan pada bulan lalu.

Ugutan itu menyebabkan krisis dalam pentadbiran PN dan dikaitkan dengan usaha Muhyiddin untuk memohon perisytiharan darurat.

Jasa sejak awal penubuhannya pada 1959 semasa dikenali sebagai Bahagian Hal Ehwal Khas diletakkan bawah kementerian komunikasi.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia kini dipimpin menteri dari Bersatu, yang juga bekas pemimpin PKR Saifuddin Abdullah. Timbalannya Zahidi Zainul dari Umno.

Jawatan pengarah Jasa lazimnya diisi pemimpin Umno seperti Tun Faisal, dan juga pendahulunya Puad Zarkashi.

Jasa yang sering menyerang pembangkang PH dimansuhkan pada Oktober 2018 apabila gabungan parti itu berjaya membentuk kerajaan dengan dipimpin Dr Mahathir Mohamad.

Ia termasuk dalam langkah penamatan kontrak lebih sepertiga daripada 17,942 pegawai lantikan politik yang mendapat jawatan bawah pentadbiran terdahulu bawah Najib Razak.

Ia membabitkan kira-kira 800 kakitangan Jasa yang diketuai Tun Faisal. – 7 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen