PENYANYI utama SHINee, salah sebuah kumpulan K-pop terkenal Korea Selatan meninggal dunia pada Isnin, kata polis yang mengatakan ia satu kejadian bunuh diri.
Kim Jong-hyun,27, ditemui tidak sedarkan diri dalam sebuah hotel di Seoul oleh polis selepas menghantar beberapa mesej kepada kakaknya terdesak mahu membunuh diri.
Mesej itu berbunyi “ini adalah ucapan selamat tinggal terakhir,” “ Hidup sangat sukar,” “Biarkan saya pergi dan beritahu saya yang saya dah buat yang terbaik,” menyebabkan kakaknya membuat panggilan kecemasan kepada polis.
Kim diumumkan meninggal dunia selepas dikejarkan ke hospital, kata polis yang turut menambah arang ditemui dibakar dalam kuali di bilik itu.
Arang terbakar menghasilkan karbon monoksida adalah kaedah bunuh diri yang biasa wujud di Korea Selatan, yang mempunyai kadar bunuh diri antara tertinggi di dunia.
SHINee yang dianggotai lima ahli adalah salah sebuah kumpulan K-pop paling dikenali di dunia sejak membuat kemunculan pertama pada 2008.
Dikenali kerana lagu tarian rancak dan reka tari hebat dipersembahkan dengan kejituan tenaga, kumpulan itu pernah mengungguli carta US Billboard World Albums beberapa kali.
Pada 2015, Kim mengeluarkan album solo pertama yang menduduki tempat pertama di carta Billboard World Albums. Beliau juga mengadakan konsert solo minggu lepas.
Berita kematiannya itu menggembarkan peminat K-pop seluruh dunia yang menghantar mesej dukacita di media sosial.
Gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan peminatnya membanjiri kawasan hospital tempat jenazahnya berada.
Budaya pop Korea Selatan menakluk Asia dan dunia sejak beberapa dekad lepas dan bintang-bintangnya sentiasa mengungguli carta musik dunia. – AFP,18 Disember, 2017.
Komen