Unjuran kewangan Belanjawan 2021 tak realistik, kata pakar


Hailey Chung Wee Kye

Pakar ekonomi berpendapat Belanjawan 2021 dibentangkan dengan anggapan yang salah kononnya ekonomi akan melonjak semula pada 2021. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2020.

BELANJAWAN 2021 dibentangkan dengan anggapan yang salah kononnya ekonomi akan melonjak semula pada 2021, kata pakar ekonomi di Research for Social Advancement (Refsa).

Badan pemikir ekonomi berkaitan DAP percaya ramalan itu terlalu optimis.

Penasihat Refsa Frederik Paulus berkata terlalu awal untuk meneruskan agenda penggabungan fiskal dan menasihati Putrajaya untuk melonggarkan sasaran defisit kewangannya.

“Walaupun Malaysia berdepan krisis ekonomi terburuk, anggaran defisit 2020 hanya 6.10% daripada KDNK yang lebih rendah dari 2009 setelah krisis kewangan global.

“Lebih-lebih lagi kerajaan merancang untuk mengurangkan defisit fiskal menjadi 5.4% pada 2021 dan menyasarkan 4.0% pada 2022,” katanya.

Bekas timbalan menteri perdagangan dan industri antarabangsa Ong Kian Ming yang juga salah seorang panel dalam webinar untuk analisis Belanjawan 2021 berkata pemulihan ekonomi yang kukuh mungkin tidak berlaku pada 2021 kerana beberapa sebab yang jelas.

“Gelombang ketiga Covid-19 menunjukkan bahawa kita tetap terdedah dengan kejutan Covid bahkan pada 2021.

“Gelombang baharu di AS dan Eropah dengan jumlah jangkitan yang lebih tinggi menunjukkan bahawa pemulihan ekonomi pada 2021 sangat diragui.

“Dan pemberian vaksin tidak mungkin berlaku sehingga pertengahan 2021,” katanya.

Pembiayaan Covid-19 menurun dari RM38 bilion pada tahun 2020 kepada RM19 bilion pada tahun 2021 dan defisit Belanjawan meningkat dari RM86.4 bilion pada tahun 2020 kepada RM84.8 bilion pada tahun 2021.– 7 November, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen