TAHNIAH kepada pihak kerajaan khususnya Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz kerana berjaya membentangkan Belanjawan 2021 pada Jumaat. Belanjawan bertema “Teguh Kita, Menang Bersama” merupakan belanjawan pertama pentadbiran Perikatan Nasional (PN).
Belanjawan 2012 ini menyediakan beberapa manfaat langsung untuk rakyat khususnya kepada beberapa kumpulan sasar. Belanjawan 2021 menyediakan peruntukan mencecah RM322.5 bilion, iaitu jumlah terbesar dalam sejarah negara.
Jumlah yang besar ini sememangnya amat diperlukan bagi melindungi rakyat dan menyokong petugas barisan hadapan ke arah memperkukuh pemulihan negara berikutan penularan pandemik Covid-19 semenjak awal tahun ini, yang hampir melumpuhkan ekonomi global dan negara.
Ramai pihak yang terjejas akibat daripada penularan virus Covid-19 bakal memperolehi manfaat serta bantuan daripada Belanjawan 2021 ini: golongan barisan hadapan yang sedang bertukus-lumus membendung penularan virus Covid-19, golongan wanita, orang kelainan upaya (OKU), warga emas, mereka yang berpenyakit kronik, para pekerja, golongan belia serta para pelajar.
Pelbagai jenis bantuan juga bakal dinikmati oleh rakyat Malaysia.
Memandangkan ramai kumpulan sasar telah ditetapkan untuk menerima peruntukan Belanjawan 2021 ini, penting supaya segala peruntukan yang telah ditetapkan ini disalurkan dengan jayanya kepada pihak sasaran.
Pihak kerajaan perlu memastikan tidak wujud sebarang penyelewengan dan ketirisan ketika ingin menyalurkan segala jenis manfaat serta bantuan kepada semua kumpulan sasar ini.
Semua kementerian yang berkaitan perlu memastikan segala objektif, visi dan misi yang telah diumumkan dalam belanjawan ini dilaksanakan dengan sepenuhnya tanpa cacat cela.
Menteri yang mengetuai setiap kementerian perlu mengambil serius terhadap isu pengagihan dan pembelanjaan segala jenis peruntukan. Setiap menteri harus berani memikul tanggungjawab sekiranya mereka terbukti cuai untuk hentikan penyelewengan dan ketirisan yang berlaku di bawah kementerian mereka sendiri.
Pihak kementerian serta jabatan yang berkaitan harus memastikan tiada lagi isu yang boleh menjejaskan proses pengagihan dan perbelanjaan sebarang jenis bantuan yang telah ditetapkan kepada kumpulan sasar.
Isu kelewatan, keciciran, kesilapan serta masalah kurang peruntukan tidak seharusnya timbul kerana peruntukan kewangan telah diumumkan kepada setiap kementerian mengikut keperluan kementerian masing-masing pada tahun akan datang.
Seperti yang diketahui umum, kita telah didedahkan dengan pelbagai isu, laporan serta berita yang meresahkan rakyat akibat daripada penyelewengan dan ketirisan wang kerajaan berlaku seperti kes pecah amanah, penyalahgunaan wang dan harta kerajaan. Yang paling utama ialah masalah yang berkaitan dengan rasuah.
Penyelewengan dan ketirisan ini sedikit sebanyak mencemarkan imej pihak kerajaan serta menyebabkan segala peruntukan yang telah disediakan tidak mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Akhirnya rakyat yang menjadi mangsa.
Bagi mengatasi masalah penyelewengan dan ketirisan ini penting bagi pihak kerajaan khususnya kementerian yang terlibat untuk sentiasa memantau dengan ketat segala proses pengagihan dan perbelanjaan peruntukan.
Sikap sambil lewa serta tidak ambil tahu tidak boleh lagi wujud dalam kalangan pegawai pelaksana dan penguatkuasa dalam memastikan setiap wang peruntukan dibelanjakan mengikut perancangan belanjawan yang dibentangkan pada petang Jumaat.
Pihak kerajaan boleh memberi pertimbangan bagi mewujudkan sebuah unit atau agensi khusus untuk memastikan segala wang yang telah diperuntukkan melalui Belanjawan 2021 dibelanjakan mengikut segala matlamat yang telah ditetapkan.
Sebarang kelemahan yang telah dikenalpasti melalui laporan oleh pihak Jabatan Audit Negara pada tahun-tahun yang lalu perlu dibaca kembali. Tindakan sewajarnya harus diambil supaya tiada lagi berlaku isu penyelewengan dan ketirisan wang peruntukan kerajaan demi rakyat serta pembangunan negara kita yang tercinta. – 7 November, 2020.
* Dr Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang–Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen