SEBUAH restoran di Tebing Gaza menawarkan diskaun sehingga 80% kepada mana-mana rakyat Korea Utara yang mengunjungi restoran itu sebagai menghargai tindakan Pyongyang mengutuk keras Amerika Syarikat yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.
Tetapi pemilik restoran, Salim Rabaa besar kemungkinan tidak perlu menunaikan janjinya itu.
“80% untuk pelanggan Korea sebagai penghargaan kepada peranan pemimpin Korea (Kim Jong Un) dalam perjuangan rakyat Palestin,” tulis papan tanda Restoran Rabaa di kem pelarian Jabalia.
Tiada rakyat Korea Utara yang berada di kawasan Palestin itu buat masa sekarang, juga tiada penduduk Palestin yang memegang kewarganegaraan Korea Utara, kata Kementerian Dalam Negeri Gaza.
Kim menerima pujian hebat penduduk Palestin kerana kelantangannya mengkritik Israel dan perubahan dasar Amerika di Baitulmaqdis.
Presiden AS Donald Trump pada 6 Disember mengumumkan pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke sana.
Kim bertindak balas menggelarkan Trump sebagai “orang tua nyanyuk” dan mengecam keputusan yang dianggap “gopoh serta berniat jahat”.
Rabaa berkata idea diskaun itu mencetuskan perbincangan di media sosial dan seluruh dunia, dan turut menarik pelanggan.
Katanya, diskaun itu adalah “simbolik” untuk berterima kasih kepada Kim kerana menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menolak keputusan Trump.
“Saya tahu tiada orang Korea di Tebing Gaza, tetapi itulah yang saya mampu tawarkan (untuk berterima kasih),” katanya. – AFP,18 Disember, 2017.
Komen