NGO pendidikan mahu pelajar mula sesi persekolahan semula


Hailey Chung Wee Kye

Peruntukan belanjawan kerajaan untuk komputer riba bagi pelajar sekolah dilihat tidak signifikan oleh ibu bapa dan NGO pendidikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2020.

PENINGKATAN peruntukan untuk komputer riba tidak akan selesaikan masalah pelajar tidak tumpu pelajaran, kata Parent Action Group for Education Malaysia (Page).

Pengerusinya Noor Azimah Abdul Rahim berkata, peruntukan tersebut tidak diperlukan memandangkan tidak banyak pelajar boleh menumpukan perhatian dalam kelas online.

“Tak ada juga dana untuk melatih guru bagi memastikan kelas dalam talian yang berkesan.

“Sekurang-kurangnya mesti ada peruntukan untuk memastikan SOP (prosedur operasi standard) diperketat bagi mendorong pelajar kembali ke sekolah,” katanya.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara menyebabkan sekolah ditutup dan pelajar ketika ini perlu belajar dari rumah.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini mengumumkan bahawa GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) akan menyumbang RM150 juta ke Tabung Cerdik.

Pembiayaan tersebut dalam Belanjawan 2021 akan digunakan bagi menyediakan komputer riba kepada 150,000 pelajar di 500 sekolah sebagai projek perintis yang diselia Yayasan Hasanah.

Sementara itu, Noor Azimah berkata bahawa pihaknya tidak teruja kerana tidak ada peruntukan yang disediakan untuk Program Dwi Bahasa (DLP).

Program DLP diperkenalkan pada tahun 2016 dan pihak sekolah dibenarkan memilih Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris untuk pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik.

Kerajaan masih meneruskan program DLP selepas jumlah sekolah menggunakan program tersebut meningkat kepada 2,291 buah sekolah tahun ini berbanding 377 semasa mula dijalankan pada 2016.

Walaupun begitu, Page memuji Putrajaya kerana membantu menyediakan makanan untuk pelajar daripada keluarga dalam kumpulan B40.

“Kami mengalu-alukan langkah kerajaan berhubung perkara asasi seperti makanan, susu dan air untuk pelajar kerana ibu bapa kini berjuang dalam pekerjaan mereka sukar menyediakan perkara itu di rumah,” kata Noor Azimah.

Belanjawan 2021 merangkumi peruntukan sebanyak RM420 juta yang diperuntukkan untuk pengeluar susu tempatan.

Peruntukan itu bagi menyediakan bekalan susu setiap hari berbanding bekalan dua kali seminggu sebelumnya dalam Rancangan Makanan Tambahan untuk pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.

Selain itu, kadar bantuan kewangan untuk kanak-kanak dinaikkan dari RM100 setiap kanak-kanak dengan maksimum RM450 setiap keluarga kepada RM150 bagi setiap anak berusia tujuh tahun hingga 18 tahun, atau RM200 setiap kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah dengan jumlah maksimum RM1,000 bagi setiap keluarga.

Bantuan ini adalah untuk menjamin dan memastikan makanan berkhasiat untuk pertumbuhan kanak-kanak yang sihat. – 6 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen