China adakan perbicaraan di stadium, hukum mati 10 penjenayah


Kumpulan hak asasi manusia mengatakan China mempunyai hukuman mati paling tinggi di dunia, tetapi Beijing tidak pernah mengeluarkan angka rasmi kerana menganggap ia adalah rahsia negara. – Gambar AFP, 18 Disember, 2017.

RATUSAN penonton membanjiri sebuah stadium di China untuk menonton perbicaraan menjatuhkan hukuman mati kepada 10 orang penjenayah atas pelbagai kesalahan seperti pengedaran dadah dan pembunuhan, hukuman itu dijadualkan dilaksanakan hujung minggu ini.

Sebuah video yang tular dalam internet menunjukkan perbicaraan yang jarang-jarang berlaku itu diadakan di selatan Guangdong pada Sabtu, suspek dilihat digari dan diarak di sekeliling trek lapangan oleh anggota polis.

Penjenayah juga kelihatan berdiri di atas pentas ketika hukuman mereka dibacakan menerusi pembesar suara.

Kumpulan hak asasi manusia mengatakan China mempunyai hukuman mati paling tinggi di dunia, tetapi Beijing tidak pernah mengeluarkan angka rasmi kerana menganggap ia adalah rahsia negara.

Pengumuman terbuka dilakukan minggu lepas oleh Mahkamah Rakyat Bandar Lufeng menjemput penduduk untuk hadir di “perbicaraan terbuka stadium”, lapor Global Times.

Beijing News yang mengedarkan video perbicaraan itu bersama-sama beberapa media lain negara itu mengkritik mahkamah kerana tindakan itu.

Sepuluh daripada 12 penjenayah dijatuhkan hukuman mati dan dibawa keluar untuk terus menjalani hukuman itu.

“Perbicaraan terbuka mungkin boleh diadakan untuk menakut-nakutkan penjenayah dan meningkatkan rasa selamat masyarakat tetapi ia tidak boleh melanggar undang-undang asas kemanusiaan,” kata Beijing News pada Isnin.

Menurut Global Times pula, perbicaraan terbuka untuk pengedar dadah pernah dilaksanakan di Lufeng pada 2015 dan lebih 10,000 orang menghadirinya.

Bandar itu adalah salah satu pengeluar terbesar dadah jenis syabu di China. – AFP, 18 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen