Yang hilang kerja boleh keluar Akaun 1 KWSP, umum menteri kewangan


Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata mereka yang hilang pekerjaan boleh mengeluarkan RM500 daripada Akaun 1 KWSP untuk tempoh setahun. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 November, 2020.

DANA daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh dikeluarkan sebanyak RM500 untuk tempoh setahun khusus bagi mereka yang kehilangan kerja, umum Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Ini adalah tambahan kepada had RM6,000 yang dibenarkan melalui skim i-Lestari sebelum ini, katanya.

“Ahli yang layak boleh memohon mulai Januari 2021,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Kelonggaran itu akan melibatkan jumlah simpanan sebanyak RM4 bilion, bertujuan meringankan beban kewangan lebih kurang 600,000 pencarum KWSP.

Dalam pada itu, pekerja juga mengurangkan caruman bulanan KWSP mereka sebanyak 2%, iaitu menjadi 9% sebulan berbanding 11% mulai Januari ini.

Pengurangan caruman selama 12 bulan itu melibatkan simpanan berjumlah RM9.3 bilion.

Akaun 2 untuk beli insurans

Sementara itu, Tengku Zafrul mengumumkan kebenaran untuk pencarum KWSP mengeluarkan dana dari Akaun 2 untuk membeli insurans  atau takaful hayat atau perlindungan penyakit kritikal untuk diri sendiri atau keluarga.

Katanya, pelan insuran dan takaful itu adalah dari agensi yang diluluskan oleh KWSP.

Potong cukai pendapatan

Bagi meringankan beban kewangan rakyat sejak penularan Covid-19, Putrajaya juga bercadang memotong kadar cukai pendapatan daripada 1 mata peraturan bagi mereka yang mempunyai pendapatan bercukai antara RM50,001 hingga RM70,000.

“Ia dijangka memanfaatkan 1.4 juta pembayar cukai,” kata Tengku Zafrul. β€“ 6 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen