Ahli Parlimen Pakatan mohon mesyuarat dengan menteri WP


Noel Achariam Elill Easwaran

Wakil rakyat Kuala Lumpur daripada PH berkata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa belum adakan mesyuarat dengan mereka sejak dilantik pada Mac lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2020.

WAKIL rakyat Kuala Lumpur menggesa menteri Wilayah Persekutuan dan datuk bandar untuk mengadakan mesyuarat bagi mencari cara membantu warga kota yang terjejas teruk akibat Covid-19, banjir kilat, masalah perumahan dan pengangguran.

Mereka berkata mesyuarat bersama Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa dan Datuk Bandar Mahadi Che Ngah itu amat perlu diadakan segera bagi menangani isu ini.

Ahli Parlimen daripada blok pembangkang itu kecewa kerana Annuar yang mula memegang jawatan itu sejak bermulanya pandemik pada Mac, masih belum bertemu mereka untuk membincangkan isu yang menjejaskan warga kota.

Mereka berkata amat penting juga isu itu dibincangkan bersama Mahadi yang baru saja dilantik ke jawatan itu, bulan lalu.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata Annuar tidak mengendahkan desakan mereka untuk mengadakan pertemuan.

“Saya pertama kali menulis surat kepada beliau pada Mac dan membuat susulan mengenai perkara itu di Parlimen pada Julai, memohon untuk mengadakan mesyuarat rasmi.

“Ahli Parlimen pembangkang Kuala Lumpur juga meminta perkara sama dalam satu surat terbuka pada 27 Oktober,” kata wakil rakyat DAP itu kepada The Malaysian Insight.

Pada 27 Oktober, semua ahli Parlimen pembangkang di Kuala Lumpur mengeluarkan surat terbuka kepada Annuar mengingatkan beliau untuk mengutamakan pentadbiran dan kebajikan rakyat di Kuala Lumpur.

Mereka berkata sejak dilantik pada Mac, Annuar belum mengadakan mesyuarat langsung.

Mereka berkata mesyuarat amat penting diadakan bagi membincangkan belanjawan tahun depan yang akan menjejaskan kawasan, dan menggesa menteri Umno itu untuk menubuhkan semula Majlis Menteri (ditubuhkan menteri terdahulu daripada Pakatan Harapan, Khalid Samad).

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata Annuar Musa tidak mengendahkan desakan mereka untuk mengadakan pertemuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2020.

Ahli Parlimen terbabit berkata jika Annuar gagal berbuat demikian, maka apa yang boleh disimpulkan ialah menteri itu meletakkan kebajikan dan kesejahteraan warga Kuala Lumpur di tempat paling bawah.

Sementara itu, Annuar berkata beliau tidak menerima sebagai permohonan rasmi daripada kumpulan ahli Parlimen Kuala Lumpur untuk mengadakan mesyuarat.

“Beberapa ahli Parlimen ada jumpa saya secara individu. Beberapa orang ada datang ke pejabat, ada yang jumpa di Parlimen, sementara ada yang jumpa ketika saya melakukan siri walkabout.

“Saya ok saja. Saya berjumpa ahli Parlimen secara kerap tanpa mengira parti politik mereka. Sebaik saja saya terima permohonan mereka, saya akan mengambil tindakan.”

Lim berkata antara isu yang perlu ditangani ialah Kementerian Wilayah Persekutuan perlu melihat bagaimana pandemik Covid-19 menjejaskan rakyat.

“Isu paling mendesak di tengah-tengah pandemik ini ialah untuk meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang mempunyai simpanan RM6 bilion dalam deposit tetap, untuk membri bantuan tunai kepada kumpulan B40.

“Mereka juga perlu mempertimbangkan memberi pembiayaan mikro tanpa faedah kepada peniaga gerai dan e-hailing serta pemandu teksi.”

Lim juga memohon kepada Annuar untuk kerja sanitasi dan pembasmian kuman dilakukan sekurang-kurangnya dua kali seminggu di Kepong.

“Saya juga minta pelitup muka diberikan secara percuma dan bakul makanan diagihkan kepada golongan memerlukan di Kepong.” – 6 November, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen