Operator pawagam rayu bantuan kerajaan


Hailey Chung Wee Kye

Panggung wayang di Malaysia mengalami kerugian besar akibat pelaksanaan PKP dan tiada filem baharu untuk ditayangkan dalam tempoh terdekat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2020.

INDUSTRI pawagam tempatan bakal berdepan ditutup selamanya jika Putrajaya tidak memberikan bantuan kewangan untuk membantu ia menangani kerugian besar yang dialami akibat pandemik Covid-19, kata pemegang kepentingan.

Mereka berkata keadaan ini akan kekal teruk sehinggalah keadaan Covid-19 reda dan orang ramai sanggup untuk kembali menonton filem di panggung wayang.

Panggung wayang di seluruh negara menggantung operasi sejak awal bulan ini sebagai langkah jangka panjang menyelamatkan perniagaan mereka susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan sekarang PKP bersyarat (PKPB) di Lembah Klang, Sabah dan Labuan.

Pengurus Perhubungan Awam dan Penjenamaan Golden Screen Cinemas (GSC) Sharmine Ishak berkata ramalan ekonomi untuk enam hingga 12 bulan akan datang adalah suram dan mencabar memandangkan Covid-19 masih ada dan vaksin belum ditemui.

“Melihat keadaan ini, kami merayu kepada kerajaan untuk diberikan bantuan kewangan dan sokongan daripada pakej rangsangan akan datang bagi kelangsungan industri pawagam tempatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sharmaine mengesyorkan skim subsidi panggung wayang, hampir serupa dengan dana anti epidemik di Hong Kong, yang memberikan subsidi RM25,000 setiap panggung.

“Geran juga boleh diberikan kepada penerbit filem tempatan untuk menyiapkan filem bagi menggalakkan tayangan filem pada suku keempat  dan seterusnya.

“Mungkin juga boleh diberikan pengecualian cukai hiburan (pada masa ini cukai 25% daripada harga tiket) dan lesen persembahan hingga hujung 2021.

“Akhir sekali, kami mohon diberikan bantuan pinjaman kepada operator panggung wayang di bawah inisiatif Penjana,” katanya.

Panggung wayang di Malaysia mengalami kerugian besar akibat pelaksanaan PKP dan tiada filem baharu untuk ditayangkan dalam tempoh terdekat.

GSC berkata berdasarkan statistik pertengahan Oktober, jualan tiket hanya 12% daripada jualan pada 2019, kesan daripada penangguhan tayangan filem pecah panggung Hollywood hingga 2021.

Sebelum pengumuman penutupan sementara pawagam, GSC teruja menunggu tayangan untuk Disember iaitu filem Wonder Woman 1984.

Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran TGV Cinemas Mohit Bhargava berkata ribuan pekerjaan akan terjejas, akibat penutupan industri itu.

“Di TGV, kebanyakan kakitangan separuh masa sudah diberhentikan. Staf yang ada sekarang akan terus bekerja dengan waktu dikurangkan,” kata Mohit.

Beliau berkata sewa panggung wayang antara kos paling besar pada masa ini.

“Kami benar-benar berharap kerajaan dapat membantu, begitu juga pemilik bangunan, supaya kami dapat beroperasi semula secepat mungkin dan mengembalikan filem di layar besar.” – 6 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen