Iran tayang rakaman video ahli akademik didakwa perisik Israel


Ahmadredza Djalali dijatuhkan hukuman mati oleh republik Islam itu pada Oktober atas dakwaan menjadi perisik Israel. Selepas berdekad lamanya, Iran menandatangani perjanjian menyekat program nuklearnya dengan kuasa besar dunia dan membolehkan sekatan ekonomi ke atasnya dibatalkan. – Gambar AFP, 18 Disember, 2017.

SIARAN televisyen awam Iran menayangkan rakaman yang didakwa mereka pengakuan seorang ahli akademik yang dijatuhi hukuman mati atas dakwaan merisik untuk Israel ketika perbincangan senjata nuklear dengan kuasa besar dunia.

Dalam video yang ditayangkan malam Sabtu dan disediakan oleh Kementerian Risikan, Ahmadreza Djalali berkata dia bekerja dengan agensi perisikan asing ketika belajar di Eropah.

Djalali, seorang pakar perubatan kecemasan warga Iran tetapi menetap di Sweden dijatuhkan hukuman mati oleh republik Islam itu pada Oktober atas dakwaan menjadi perisik Israel.

Dia yang merupakan profesor pelawat di Vrije Universiteit Brussel, Belgium ditahan ketika melawat Iran pada April 2016.

Dia didakwa memberikan maklumat kepada perhidmatan perisikan Israel, Mossad ketika rundingan senjata nuklear dilakukan Iran dengan kuasa besar dunia pada 2015.

Djalali mendakwa dia dihukum kerana enggan menjadi perisik Iran ketika bekerja di Eropah.

Dalam video berdurasi 17 minit itu,  ditayangkan imej yang dikatakan “wawancara” dengan Djalali yang diselang seli dengan rakaman arkib, menuduhnya sebagai “pengkhianat” dan direkrut Mossad.

Dalam rakaman itu, Djalali mengatakan dia memberikan maklumat kepada agen perisikan asing mengenai dua pakar nuklear Iran, Majid Shahriari dan Masoud Alimohammadi.

Mereka berdua adalah antara lima ahli sains Iran- empat daripadanya terlibat dalam program nuklear negara itu- yang terbunuh dalam serangan bom dan ditembak di Tehran antara 2010 dan 2012.

Iran mendakwa Mossad dan CIA menjadi dalang pembunuhan itu.

Rakaman video itu dikeluarkan beberapa hari selepas kumpulan hak asasi dunia, Amnesty International mengatakan Mahkamah Agung Iran terburu-buru dan mengabaikan undang-undang untuk mengesahkan hukuman mati kepada Djalali.

Selepas berdekad lamanya ketegangan antara Tehran dan dunia barat, negara itu menandatangani perjanjian dengan kuasa dunia pada Julai 2015 untuk menyekat aktiviti nuklearnya dan sebagai balasan sekatan ekonomi kepada negara itu dibatalkan.

Tetapi Presiden AS Donald Trump mengugut untuk berundur daripada perjanjian itu. – AFP, 18 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen